Berita Hari Ini

Permaisuri mahu MSU jadi pelopor

SHAH ALAM – Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah hari ini berharap Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) mengorak langkah sebagai pelopor dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) ke arah usaha meningkatkan kesejahteraan dan perpaduan rakyat.

Tuanku Hajah Haminah, yang juga Canselor MSU, bertitah ini sejajar dengan agenda transfomasi pendidikan yang menjadi antara asas pembangunan negara.

“Beta amat berharap dengan pembangunan dan kecemerlangan MSU ini, ia mampu menjadi platform terbaik untuk membangunkan bangsa Malaysia dan menjayakan perpaduan kaum dengan penyatuan nasional,” titah Tuanku Hajah Haminah pada Konvokesyen ke-13 MSU di Seksyen 13 di sini, Sabtu.

Baginda turut berpesan kepada golongan graduan supaya menjadi pekerja cemerlang, berdaya saing dan dikagumi.

“Pilihlah untuk menjadi pembangun negara yang disegani dan dihormati.Sesungguhnya, kalangan graduan hari ini adalah antara modal insan yang bakal mencorakkan pembangunan negara,” titah baginda.

Tuanku Hajah Haminah turut mahu pensyarah dan tenaga kerja universiti swasta yang mana kampus baharunya dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 18 Jun lepas, terus meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.

Para pensyarah, titah Tuanku Hajah Haminah, perlu meningkatkan keupayaan dan kebolehan diri untuk menjadi cemerlang dalam bidang masing-masing serta memiliki daya kreatif dan inovatif selain menunjukkan komitmen dan integriti yang tinggi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

MSU pada asalnya merupakan Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Latihan (PTPL) yang ditubuhkan pada 1981 dan kemudiannya dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) pada 2001.

Tuanku Hajah Haminah berharap kampus baharu MSU yang serba lengkap itu akan menyediakan pendidikan berkualiti kepada lebih ramai pelajar yang melanjutkan pengajian tinggi.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan segulung ijazah doktor falsafah, 25 ijazah Sarjana, 293 Sarjana Muda dan 181 diploma serta anugerah khas kepada 21 graduan cemerlang.

Dua daripada 21 penerima anugerah khas itu, Rohani Abdul Wahab, 24, dan Ahmed Fairuz Yakob, 28, menerima Anugerah Presiden iaitu anugerah tertinggi MSU. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");