Jenayah

Polis P.Pinang Serbu Lima Premis Judi Haram, Tahan 14 Termasuk Seorang Wanita

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan 14 orang, termasuk seorang wanita, dalam serbuan di lima premis yang menjalankan kegiatan judi berkomputer tanpa lesen di negeri ini, awal pagi Sabtu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Nasir Mohd Salleh berkata operasi itu, yang melibatkan 70 anggota polis Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, dijalankan di sekitar Bandar Perai Jaya, Butterworth, Bukit Mertajam, Bayan Lepas dan Jelutong.

Beliau berkata mereka yang ditahan dalam serbuan pada 3 pagi itu terdiri daripada lima kaki judi dan sembilan penjaga premis berumur lingkungan 23 hingga 40 tahun.

“Hasil serbuan yang dijalankan, kita turut mendapati sebuah premis di Tingkat Kenari, Bayan Lepas berselindung di sebalik perniagaan makanan dan menganjurkan kegiatan judi haram kepada pelanggan mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Nasir berkata polis turut merampas 94 set komputer yang diubah suai bernilai hampir RM150,000.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dan jika sabit kesalahan, pemilik premis berdepan denda RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pemain pula akan didakwa mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000 jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");