Perak Hari Ini

Pusat Pendidikan Al-Barakah Jadi Tumpuan Dalami Ilmu Agama

Pusat Pendidikan Al-Barakah bukan sahaja menjadi tumpuan pengunjung asing mempelajari ilmu agama, malah telah memberi impak besar dalam sistem pengajian Islam di negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, institusi itu berjaya memperkenalkan negeri Perak di kaca mata negeri-negeri lain termasuk di peringkat antarabangsa serta mampu menjadi pusat pelancongan dalam bentuk agama.

“Pengunjung yang hadir bukan saja dari negeri Perak, bahkan ada yang datang dari selatan Malaysia dan Singapura.

“Dengan penglibatan penceramah terkemuka yang juga pengelola pusat ini, Ustaz Kazim Elias, sudah pasti ramai yang tertarik dengan cara penyampaian ilmu dan pendidikannya,” kata Zambry.

Tambah beliau, keadaan ini sememangnya memberi banyak manfaat kepada Perak, kerana setelah tujung tahun pembinaan, ianya berjaya melahirkan modal insan yang bermutu dan berwawasan.

“Hasilnya, lebih ramai pengunjung yang mendaftar di pusat pengajian ini terutamanya yang telah bersara, menghabiskan masa mereka mendalami ilmu agama melalui sistem pondok yang ditawarkan,” jelasnya ketika sidang media, selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Ulang Tahun ke-7 Pusat Pendidikan Al-Barakah di Dataran Pusat Pendidikan Al-Barakah dekat Ipoh, hari ini.

Katanya, pusat pendidikan ini turut memperkenalkan program pengajian bahasa utama sekurang-kurangnya empat bahasa yang boleh dikuasai oleh penuntut iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Mandarin dan Tamil.

“Ini satu kebanggaan apabila program ini telah dimulakan dan ianya dapat berikan satu keputusan baik dalam melahirkan generasi cemerlang.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya akan sentiasa sokong usaha murni ini dan berharap agar pusat pengajian ini menjadi contoh kepada institusi lain dalam melahirkan modal insan yang terbaik,” ujar Zambry.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");