Membawang Hari Ini

Raja Azmi sibuk urus majlis pertunangan

Produser Raja Azmi Raja Sulaiman, 54, sekarang ini sibuk melakukan persiapan untuk majlis pertunangan dengan kekasih hatinya, Eddie yang akan berlangsung pada 15 Julai ini.

Menurutnya, majlis pertunangan secara kecil-kecilan itu akan diadakan di kediamannya di Ukay Perdana di sini, selepas waktu Asar.

“Keluarga Eddie akan datang lepas Asar untuk berbincang dan sarung cincin. Lepas itu kami semua akan berbuka puasa ramai-ramai,” katanya kepada Utusan Online.

Kata Raja Azmi, kalau diikutkan hatinya, dia tidak mahu mengadakan majlis pertunangan, cukuplah diadakan majlis pernikahan di masjid bagi memenuhi syarat hukum.

Bagaimanapun, dia perlu akur dengan kehendak anak-anaknya yang mahu majlisnya itu dilakukan mengikut adat.

“Selama ini Kak Mi mengajar mereka supaya sentiasa ikut adat dan apabila tiba waktunya, mereka pula pulangkan paku buah keras kepada Kak Mi yang mahu terus mengadakan majlis pernikahan sahaja.

“Ini semua kehendak anak-anak, mereka yang lebih teruja mengadakan majlis pertunangan. Kak Mi ikut sahaja dan keluarga Eddie pun tak bantah,” ceritanya yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan pemuzik muda, Hafiz.

Dia yang bakal melangsungkan majlis pernikahan dengan Eddie, 45, September ini, sedar akan tanggapan masyarakat terhadapnya apabila memberitahu mahu mengadakan majlis pertunangan.

Kata janda beranak tiga itu, biarlah orang nak kata apa tentang dirinya kerana yang penting dia tidak ganggu orang dan setiap tohmahan yang dilontar terhadapnya memberi pahala kepadanya.

“Dah ramai yang mengata Kak Mi di internet itu, biarlah kerana Kak Mi tak ada kuasa untuk menutup mulut atau pandangan orang. Baik Kak Mi jaga hati anak-anak dan keluarga sahaja,” katanya tanpa berselindung.

Bekas isteri kepada Jailani Sidek itu telah berkenalan dengan Eddie yang merupakan duda kepada dua orang anak dan anggota kumpulan CRK yang popular dengan lagu Cinta dan Air Mata pada awal 90-an sejak lima bulan lalu. – UTUSAN ONLINE

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");