Sukan Hari Ini

Rayuan ditolak, Aidil Zafuan gagal ‘kembali’

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini menolak rayuan Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) berhubung kes pemain pertahannya, Aidil Zafuan yang dilayangkan kad merah ketika berdepan dengan Lions XII di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak berkata, penolakan kes Aidil berdasarkan kesalahan di bawah Perkara 35.3 (2) mengenai pergantungan secara automatik pemain yang dilayangkan kad kuning mahupun merah.

Sehubungan itu katanya, pihak FAM secara langsung tidak mempunyai bidang kuasa untuk meminda hukuman yang telah dijatuhkan oleh pengadil perlawanan.

“Layangan kad kuning dan kad merah adalah keputusan pengadil. Mana-mana pemain dilayangkan dua kad kuning digantung satu perlawanan namun bagi kad merah yang dilayangkan secara terus digantung dua perlawanan.

“Peraturan ini diguna pakai di mana-mana liga seluruh dunia, cuma masalah yang berlaku ada sesetengah liga penggantungan dua perlawanan tidak melibatkan perlawanan kalah mati.

“Namun dalam Kod Tatatertib FAM menjelaskan, mana-mana pemain yang bermain dalam Liga Malaysia seandainya dilayangkan dua kad kuning dan kad merah tidak boleh beraksi dalam saingan liga dan juga perlawanan kalah mati.

“Bagi kes Aidil ini ia jelas di mana keputusan diambil tertakluk di bawah Perkara 35.3(2) dan FAM mengambil keputusan menolak rayuan tersebut serta hukuman gantung dua perlawanan kekal,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tatatertib di Wisma FAM hari ini.

Tuafek juga memberitahu bahawa rayuan yang dikemukakan oleh pihak JDT juga tidak berasas kerana sebarang keputusan yang dilakukan oleh pengadil perlawanan adalah muktamad.

“Tidak kira apa juga alasan yang diberi sama ada keputusan pengadil buat, itu bukan bidang kuasa jawatankuasa tatatertib, kami tak boleh mengambil kira sikap pengadil kerana itu bidang kuasa jawatankuasa pengadil.

“Meskipun pihak JDT memberitahu alasan punca Aidil mengasari pemain Lions XII, tapi kami tak boleh berbuat apa-apa kerana ia adalah hukuman outomatik, jadi saya ingin jelaskan Aidil tidak akan dapat beraksi di pentas final menentang Kelantan Sabtu ini,” ujarnya.

Keputusan FAM tersebut menyebabkan Aidil bakal terlepas aksi akhir menentang Kelantan, Sabtu ini selepas dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan ke atas pemain Lions XII, Irwan Shah dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");