Berita Hari Ini

RM10 juta untuk naik taraf laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (JKR) memerlukan peruntukan kira-kira RM10 juta untuk menaik taraf 16 kilometer laluan motosikal seliaan JKR di sepanjang Lebuhraya Persekutuan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, peruntukan itu untuk melaksanakan beberapa projek termasuk membesar dan membaik pulih laluan, menerangkan kawasan laluan gelap dengan lampu dan menyediakan pam air di laluan yang mudah berlaku banjir kilat.

“Akibat kedaifan dan kurangnya penyelenggaraan lorong motosikal ini, maka ramai pengguna motosikal telah beralih menggunakan jalan utama yang mempunyai kadar trafik dan risiko kemalangan yang tinggi.

“Justeru langkah membaik pulih ini bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna motosikal di lebuh raya ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan, di sini.

Lebuhraya Persekutuan yang dibina pada 1977 membabitkan laluan sepanjang 45 kilometer menghubungkan Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang menjadi nadi ekonomi dan laluan tulang belakang kepada negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ia juga dikenali sebagai lebuh raya pertama di Malaysia yang mempunyai lorong motosikal di negara ini.

Fadillah berkata, sehingga kini JKR menerima peruntukan kira-kira RM1 juta setahun untuk kerja penyelenggaraan laluan berkenaan.

“Bagaimanapun untuk melaksanakan lebih banyak projek penambahbaikan, kami memerlukan peruntukan lebih daripada itu,” katanya.

Awal tahun ini, JKP membelanjakan RM0.9 juta untuk membaik pulih cerun yang runtuh dan menyelenggara rumah pam terowong di kedua-dua arah berhampiran kilang Motorola di Sungai Way.

Keseluruhan panjang lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan FT02 (KL-Bandar Klang-KL) ialah sepanjang 56.8 kilometer yang membabitkan penyelenggaraan di bawah seliaan empat pihak iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sepanjang 4.8 kilometer, JKR (16km), Lebuhraya Sprint (4km) dan Lebuhraya Utara-Selatan (32km).

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");