Membawang Hari Ini

Sharnaaz temui pengganti?

SEJAK mengambil keputusan untuk melepaskan ‘cinta’nya pergi, nama Sharnaaz seakan-akan sepi dari dada media.

Malah aktor yang terkenal dengan watak sebagai Lan Todak ini dilihat lebih senang menumpukan diri dalam kerjaya. Tiada lagi sebarang komen yang mahu diberikan.

Apatah lagi Sharnaaz juga dilihat seolah-olah lari dari media apabila gagal hadir ke beberapa lokasi majlis melibatkan dirinya.

Namun Khamis lalu, Sharnaaz akhirnya muncul di majlis pelancaran filem terbarunya, Sindiket. Peluang itu juga digunakan media untuk bertanyakan khabar terbarunya.

Lantaran baru-baru ini timbul pula cerita kononnya anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang ini sedang mengenali hati seorang pelakon kelahiran Singapura yang sedang rancak membina nama di sini iaitu Elfaeza Ul Haq. Persoalannya, benarkah Sharnaaz sudah temui pengganti Shila Amzah?

“Hah? Saya tidak ada apa-apa hubungan dengan dia. Saya kenal dia pun kita penggambaran drama Mukhliz yang akan ditayangkan di TV1 tak lama lagi. Rasanya semua orang kenal saya. Saya ni jenis, kalau ada saya cakap ada. Kalau tak ada, saya cakap tak ada. Dan jawapan saya… tak!,” tegasnya.

Menyentuh mengenai kehidupannya kini, Sharnaaz berkata dia mahu memberi tumpuan terhadap kerjaya dan diri sendiri serta menyerahkan segalanya kepada takdir.

Ditebak mengenai hubungannya dengan Shila, Sharnaaz berkata dia tidak pernah memusuhi bekas kekasihnya itu.

“Tak ada apa yang nak saya komen lagi kat sini. Saya sibuk dengan kerja saya, dia (Shila) sibuk dengan kerja dia. Bagi saya, saya nak nikmati hidup saya yang sekarang ni. Umur saya pun dah 28. Saya nak buat yang terbaik untuk diri saya. Biarlah apa yang saya rasa dalam diri saya ni menjadi satu rahsia dan biarlah saya simpan rasa itu.

“Apa yang saya belajar ialah kalau seseorang itu bukan jodoh kita, apa-apa perkara pun yang kita rancang dan buat, tidak akan menjadi,” jelasnya tenang.

Mahu bersihkan nama

Dalam pada itu, Sharnaaz berkata peluangnya untuk berlakon dalam filem Sindiket sebagai Inspektor Rudy akan digunakan sepenuhnya untuk membersihkan namanya. Ini ekoran pengaruh seorang remaja yang meniru perwatakannya sebagai Lan Todak dalam filem Juvana.

“Satu benda yang tak baik dan saya minta maaf serta simpati pada nasib yang menimpa budak yang kena buli itu. Kalau perlu, saya sanggup turun padang dan beri kerjasama betulkan pemikiran terpesong budak-budak kaki buli berkenaan. Sebenarnya Lan Todak ni adalah sebagai pengajaran tapi tak sangka mereka terikut-ikut.

“Diharap watak saya sebagai Inspektor Rudy dalam filem Sindiket pula nanti, dapatlah memberi contoh yang baik. Saya akan ambil tanggungjawab ini sebaik mungkin. Saya harap orang boleh terima watak ni ke arah kebaikan dan pembaikan,” katanya.

Tidak sekadar menjadi ikutan, ada pula dakwaan mengatakan Sharnaaz menggunakan nama Lan Todak menerusi laman sosial Twitter, dan menulis kata-kata makian serta berlagak seperti seorang gengster.

“Saya tak tahu tentang hal ini. Saya tak tulis apa-apa. Ia fitnah! Saya harap sebelum orang nak hentam saya, sila pastikan betul-betul. Sekarang ni sesiapa yang hentam dan fitnah saya, saya akan ambil tindakan mahkamah. Kalau ada pihak yang cuba-cuba nak fitnah saya dan maki saya, kalau terima surat peguam tu, faham-faham sahaja ya,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kes saman antara dia dan penerbit filem Darah Panas, S Baldev ekoran dia didakwa ‘buat perangai’ di set penggambaran filem arahan Arjin Uppal awal tahun lalu, Sharnaaz menjelaskan, Alhamdulillah selesai luar mahkamah.

“Apa yang saya perjuangkan, saya dapat. Apa yang dia perjuangkan, dia dapat. Dua-dua puas hati tanpa menggunakan pisau, parang dan lembing,” ujarnya dalam nada bergurau.

Tawaran makin mencurah

Berkongsi perkembangan terkininya, Sharnaaz berkata, dia bersyukur selepas kontroversi tersebut rezekinya sebagai pelakon semakin melimpah ruah.

“Alhamdulillah, selepas kontroversi tersebut semakin banyak tawaran filem dan drama untuk saya. Mereka melihat saya sebagai seorang yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara dan ia memang perangai saya sejak dulu,” jelasnya.

Dalam filem sindiket arahan Bade Hj Azmi ini, Sharnaaz memainkan watak sebagai Inspektor Rudy iaitu anggota polis yang ditugaskan menyelesaikan kes memperdagangkan manusia.

Antara barisan pelakon lain ialah Daphne Iking, Rashidi Ishak, Liyana Jasmay, Sharifah Amani dan Soo Wincci.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");