Jenayah

Tidak timbul selepas terjun

Hanisah bersama anak bongsunya, Mohd Firdaus, 5, menunjukkan gambar arwah:-

TUMPAT – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Muhammad Akimi Mohamad Anuar, 14, yang koma 10 jam selepas lemas di dalam tali air berdekatan rumahnya di Kampung Palekbang di sini, meninggal dunia awal pagi kelmarin.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 1.50 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II), Kota Bharu di sisi ibunya.

Pelajar terbabit lemas di tali air berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Palekbang, kira-kira 700 meter dari rumahnya pada Khamis lalu, ketika mandi bersama dua adik dan sepupunya.

Ibu mangsa, Hanisah Arani, 36, berkata, dia reda dengan pemergian anak sulungnya daripada empat beradik itu kerana ALLAH lebih menyayanginya.

Katanya, arwah tidak sedarkan diri selepas sepupunya menyelamatkannya dengan membawa naik ke tebing tali air.

“Saya dapat mengetahui kejadian itu pada jam 3 petang selepas anak saudara datang ke rumah memaklumkan kejadian tersebut.

“Saya terus bergegas ke tali air tersebut, arwah masih bernyawa tetapi tidak sedarkan diri, saya terus membawanya ke Hospital Tumpat dan kemudiannya dirujuk ke HPRZ II.

“Arwah tidak sedarkan diri hingga saat dia menghembuskan nafas terakhirnya,” katanya.

Adik mangsa, Aiman, 12, berkata, mandi di tali air tersebut adalah rutin arwah abang bersamanya, bagaimanapun tidak menyangka ia menjadi tragedi buruk.

“Saya bersama arwah dan seorang lagi abang saya, Mohd Amirul ke tali air tersebut pada jam 2.30 petang lagi.

“Kegirangan arwah abang yang membuat terjunan dengan memanjat pagar pintu air di tali air tersebut, tiba-tiba bertukar tragedi apabila dia tidak timbul.

“Tiga kali arwah abang buat terjunan, terjunan terakhir itu dia tenggelam di dalam dasar tali air itu sedalam kira-kira lima meter,” katanya yang memaklumkan arwah abangnya itu pandai berenang.

Menurutnya, menyedari kehilangan arwah abangnya itu, dia bersama sepupunya menyelam mencarinya dan menjumpainya di dasar tali air tersebut lalu mengangkatnya ke tebing dan kemudiannya meminta pertolongan.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Palekbang pada jam 11 pagi kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip mengesahkan menerima laporan kejadian lemas tersebut.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");