Jenayah

Tingkat keselamatan pasar borong

Kawalan keselamatan Pasar Harian Selayang akan dipertingkatkan menerusi kerja naik taraf pagar sekeliling kawasan dan akan dilengkapi dengan pondok kawalan imigresen di laluan utamanya:-

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meningkatkan keselamatan dan kawalan keluar masuk di Pasar Harian Selayang dengan menaik taraf pagar di kawasan termasuk menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib. berkata, menerusi perlaksanaan itu nanti, pintu pagar kecil yang terdapat di situ akan ditutup di mana hanya akan ada satu laluan utama bagi pintu masuk dan satu pintu keluar, dan turut akan dilengkapi dengan pejabat kawalan imigresen.

Menurutnya, langkah itu secara tidak langsung dapat mengawasi pergerakan orang ramai, terutamanya warga asing termasuk yang menjalankan operasi perniagaan secara haram.

“Pada masa ini, pasar itu dilengkapi lapan CCTV dan kami bercadang menambah enam unit lagi di pintu masuk dan keluar.

“Dengan memagar seluruh kawasan pasar itu, termasuk memasang kawat duri di bahagian atasnya, diharapkan ia dapat mengekang orang luar yang cuba menimbulkan kekacauan dalam premis dan sekitar pasar tersebut,” katanya.

Beliau menambah, proses naik taraf itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga dua bulan.

“Kerja-kerja tersebut kini dalam proses mengeluarkan tender kepada kontraktor dan kami berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung situasi membimbangkan berhubung kebanjiran warga asing terutamanya Myanmar, yang ‘berpusat’ kawasan berkenaan sehingga menimbulkan rasa kurang selesa warga tempatan.

Beberapa kes pembunuhan warganegara itu, yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan puak bertelagah Myanmar, berlaku baru-baru ini juga menambah lagi kebimbangan warga kota khususnya yang sering berurusan mendapatkan bahan mentah di situ.

Dalam pada itu, menyedari pentingnya tahap kebersihan terhadap bahan mentah yang dijual di pasar borong berkenaan, DBKL dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan mengambil inisiatif mewujudkan makmal khas.

“Pasar borong ini menyediakan 70 peratus daripada hasil bahan mentah yang diperlukan sebagai bekalan sekitar Lembah Klang, jadi dengan penubuhan makmal khas ini termasuk pejabat Fama, kita dapat mengawal kualiti barangan yang dijual,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");