Membawang Hari Ini

Uji Rashid teruskan Malam Amal bersama 3 Diva

PENYANYI terkenal dengan lagu Semakin Hari Semakin Sayang ini mengakui terkilan dengan laporan mengenai dirinya yang dikatakan menarik diri daripada menjayakan Malam Amal bersama 3 Diva yang akan diadakan 12 Jun ini.

Menurut Uji Rashid, ia menjatuhkan reputasinya sebagai penyanyi.

“Perkara ini ini tidak patut berlaku dan saya benar-benar kecewa.

“Saya akui agak terganggu dengan berita itu, lebih-lebih lagi saya tidak tahu apa-apa pada sidang media pertama malam amal yang diadakan sebelum ini,” katanya tidak menghadirkan diri pada sidang media pertama yang diadakan pada 8 Mei lalu kerana mempunyai komitmen lain.

Jelas Uji atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al Rashid, dia bukan sengaja tidak datang ke sidang media berkenaan.

“Saya sudah memberitahu pihak penganjur yang berkemungkinan tidak dapat hadir ke majlis itu.

“Tetapi dari mana timbulnya isu ini saya tidak tahu, lebih mengecewakan, saya hanya dapat tahu dari rakan-rakan sahaja,” katanya.

Tambah Uji, tidak hadir di majlis itu bukan bererti dia tidak dapat terlibat dengan malam amal itu.

“Ia dua perkara yang berbeza, saya seorang yang berpegang pada janji, jika saya kata saya buat, saya akan buat, begitu juga sebaliknya,” bicaranya kesal kerana tidak dihubungi terlebih dahulu untuk mengesahkan perkara itu.

Gimik penganjur?

Dalam pada itu, Uji yang ditemui pada sidang media kedua ini berkata, kejadian itu membuatnya terasa seperti seolah-olah sengaja mencari publisiti.

“Bayangkan apabila rakan menelefon dan bertanya, betul ke saya tak sertai malam amal itu dan mereka tidak jadi membeli meja, memang saya terkejut.

“Jadi apabila mengetahui perkara sebenar, saya akui kesal dan benar-benar merajuk dengan mereka,” katanya mengingatkan perkara itu adalah gimik oleh pihak penganjur.
Jelas Uji juga, dia sudah lama berada dalam industri dan bukan caranya sengaja menimbulkan masalah.

“Ia perkara yang sangat memalukan saya, saya harap peminat atau sesiapa tidak salah faham lagi selepas ini,” katanya turut membuat persembahan bersama Datuk Sharifah Aini dan Datuk Khadijah Ibrahim pada malam itu.

Bakal diadakan di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur bermula 8.30 malam, penonton akan dipersembahkan dengan pelbagai lagu popular dari tiga penyanyi tersohor ini.

Mengulas mengenai persembahan malam tersebut pula, kata Uji, dia amat teruja untuk bersatu di pentas itu bersama Sharifah Aini dan Khadijah Ibrahim.

“Saya memang tidak sabar hendak melakukan persembahan bersama mereka nanti.

“Meskipun pernah bekerjasama sebelum ini namun ianya lain kerana ini kali pertama kami bertemu bagi program kebajikan.

“Saya harap, tujuan dan mesej kami mengadakan malam amal ini tercapai, apa yang utama adalah niat kami hendak membantu golongan memerlukan,” katanya.

Berhibur sambil beramal

Tidak ketinggalan hadir pada sidang media kedua, biduanita negara ini sempat berkongsi perasaannya apabila dilamar untuk menyertai Malam Amal Bersama 3 Diva.

Akui Sharifah Aini, dia juga sama seperti rakan lain yang tidak sabar untuk membuat persembahan pada malam itu.

“Saya harap peminat dapat hadir bersama-sama memeriahkan majlis amal ini.

“Bukan sekadar dapat berhibur dan bersama kami sebaliknya dapat menghulur bantuan kepada golongan ibu tunggal terlibat,” katanya.

Sementara itu, Khadijah berkata, mereka sudah memulakan persiapan bagi malam amal itu.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk persembahan pada malam tersebut.

“Pelbagai persembahan menarik dilakukan termasuklah medley antara kami bertiga,” katanya.

Ditanya lebih mendalam mengenai persembahan malam itu, Khadijah bagaimanapun, lebih selesa merahsiakannya.

“Tunggu sahaja malam nanti, kalau tidak tiadalah kejutan dari kami,” katanya.

Sukar, tetapi mudah

Mengulas mengenai gandingan Uji, Sharifah dan Khadijah pula, jelas pengarah eksekutif Kaizen, Sulaiman Ngah Dimin yang merupakan penganjur kepada malam amal ini memberitahu, bukan mudah menyatukan mereka dalam sebuah persembahan.

“Mereka mempunyai tugas dan komitmen tersendiri, malah mereka juga nama besar dalam industri.

“Meskipun sukar tetapi sebenarnya agak mudah mendapatkan kerjasama dari mereka.

“Apabila diberitahu mengenai malam amal ini, mereka bersetuju sahaja dengannya,” katanya.

Bercerita sambutan malam amal ini, Sulaiman berkata, setakat ini pihaknya telah berjaya menjual 80 peratus daripada 100 buah meja yang disediakan untuk persembahan pada malam itu nanti.

“Saya gembira dengan perkembangan ini, meskipun ada perkara yang kurang enak berlaku, namun ia masih membantu jualan meja untuk malam itu nanti.

“Bagaimanapun, saya harap bakinya  dijual sebelum persembahan berlangsung dan kami sangat mengalu-alukan bantuan mereka demi membantu golongan ibu tunggal memperbaiki kehidupan mereka tanpa bergantung kepada orang lain,” katanya.

Tambah Sulaiman, persembahan tersebut juga akan dirakamkan dalam bentuk cakera padat (CD) untuk peminat.

“Selain mengeluarkan CD, pihak kami juga telah berbincang dengan stesen televisyen yang berminat untuk menayangkan persembahan itu,” katanya.

Turut menyerikan persembahan pada malam itu nanti adalah Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012), Didie Alias sebagai pengacara majlis bersama Acong (Sweet Child) dan Man (Raja Lawak).

Di samping itu, pertunjukan fesyen dan ratu kebaya oleh ibu-ibu tunggal turut diadakan.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");