Berita Hari Ini

13 tapak pelupusan sampah dinaik taraf

Datuk Halimah Mohd Sadique

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menaik taraf kesemua 13 tapak pelupusan sampah (TPS) di Johor bagi menampung peningkatan kapasiti sisa pepejal di negeri itu, kata Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique hari ini.

Beliau berkata usaha itu dimulakan dengan proses naik taraf TPS di Simpang Renggam dengan kos RM9.1 juta di kawasan seluas 10.35 hektar yang dijangka selesai Oktober tahun ini.

“Proses ini telah 30 peratus siap dan akan diteruskan dengan proses naik taraf TPS yang lain untuk menampung kuantiti sisa yang semakin meningkat setiap hari di negeri Johor.

“Sehubungan itu kerajaan tiada sebarang cadangan untuk menambah TPS di negeri berkenaan memandangkan setelah dinaik taraf TPS ini dijangka dapat menampung sampah sehingga lima tahun lagi sementara loji rawatan terma (insinerator) di Bukit Payung, Batu Pahat, dibina,” katanya menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini.

Halimah berkata rancangan mewujudkan insinerator berkenaan kini dalam kajian termasuk kesesuaian tapak itu.

“Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) juga akan dilakukan sebelum keputusan dimuktamadkan bagi memastikan projek berkenaan tidak menjejaskan alam sekitar setempat,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");