Perak Hari Ini

271 Fakir Miskin, 33 Anak Yatim Terima Sumbangan Hari Raya

PERAK TODAY 3“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban bagi membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidifitri tidak lama lagi,” kata Fatimah Arshad, 56, salah seorang daripada 271 golongan fakir miskin yang menerima sumbangan duit raya dan barangan keperluan asas daripada Menteri Besar Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Bertempat di Masjid Teluk Raja Bayang, kegembiraan jelas terpancar di wajah warga emas itu yang tinggal bersama adiknya di Kampung Sungai Pinang Besar dan kedua-dua mereka mengambil upah memotong dan membersihkan ikan di pelantar dengan pendapatan harian yang tidak menentu.

Selain Fatimah, seramai 33 anak yatim turut menerima duit raya yang disampaikan sendiri oleh Zambry dan isterinya, Datin Seri Saripah Zulkipli.

“Alhamdulillah kerana makcik terpilih menerima sumbangan Hari Raya daripada Adun Pangkor tahun ini berbanding sebelum ini, sekaligus dapat menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan umat Islam tidak lama lagi.

“Untuk menambah pendapatan, makcik juga mengusahakan jualan keropok ikan secara kecil-kecilan,” katanya kepada Peraktoday.com.

Terdahulu, Zambry dalam ucapan ringkasnya berkata, setiap tahun, golongan fakir miskin dan anak yatim di kawasan itu tidak pernah ketinggalan menerima sumbangan Hari Raya.

Sumbangan itu katanya, diharap dapat membawa kegembiraan kepada si penerima apatah lagi di saat umat Islam mulai sibuk membuat persiapan menjelang 1 Syawal.

“Sumbangan kepada golongan fakir miskin dan anak yatim ini juga melangkaui batas politik,” tegasnya lagi.

Selepas berbuka puasa, Zambry dan isterinya menunaikan solat Maghrib berjemaah dan kemudiannya melakukan solat Tarawih yang diimamkan oleh imam jemputan dari Mekah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");