Jenayah

3 suspek curi kabel diburu

Azmi (tiga, kiri) menunjukkan hasil rampasan kabel telekomunikasi sambil diperhatikan oleh Normanshah (kanan) bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah
Azmi (tiga, kiri) menunjukkan hasil rampasan kabel telekomunikasi sambil diperhatikan oleh Normanshah (kanan) bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah

KUALA PILAH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Pilah kini giat memburu tiga suspek kes curi kabel pencawang telekomunikasi yang berjaya melarikan diri dalam satu rondaan di pencawang Kampung Gemetir, Tanjung Ipoh, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 2 pagi 7 Julai lalu, Lans Koperal Ariff Abdullah bersama rakan sepasukan yang menaiki kenderaan jenis Land Rover melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan pencawang tersebut.

“Ketika di tempat kejadian, mereka terserempak dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna kelabu dan Proton Saga berwarna putih yang mencurigakan berada di simpang masuk ke pencawang berkenaan.

“Apabila anggota polis menghampiri Toyota Vios berkenaan, pemandunya memecut laju ke arah jalan Tanjung Ipoh manakala Proton Saga yang cuba melarikan diri bergesel dengan kenderaan dinaiki polis lalu terbabas,”
katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, Jalan Melang, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah, Asisten Superitendan Normanshah Din.

Menurutnya, walaupun kenderaan suspek berjaya ditahan, namun pemilik dan penumpang Proton Saga itu berjaya melarikan diri ke dalam semak.

“Sehingga kini pihak polis masih memburu kesemua mereka termasuk suspek yang menaiki Toyota Vios.

“Hasil pemeriksaan dilakukan ke atas Proton Saga mendapati, bahagian bonet dan tempat duduk belakang dipenuhi dengan kabel pencawang telekomunikasi yang sudah dipotong selain beberapa alat pemotong kabel turut dijumpai,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, pada 5 Julai lalu, seorang juruteknik telekomunikasi, S Mathan Naidu, 25, mengalami kerugian RM5,000 selepas kabel pencawangnya dipotong.

“Pengadu memaklumkan mendapat panggilan pada 11.30 pagi dari ibu pejabat telekomunikasi menyatakan terdapat tanda amaran gangguan di pencawang terbabit di Kampung Gemetir.

“Setelah mendapat panggilan, pengadu bergegas ke tempat itu dan mendapati sepanjang 40 meter iaitu enam batang kabel sudah dipotong,” katanya.

Namun pada ketika itu, tiada kelibat sesiapa kelihatan sebelum pengadu membuat laporan polis kemudiannya.

“Oleh demikian, kami percaya kabel yang ditemui itu dari pencawang Kampung Gemetir dan pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");