Berita Hari Ini
Like

30 Peserta Kursus Keracunan Makanan

July 1, 2013
79 Views
0 Comments
2 minutes read
30 Peserta Kursus Keracunan Makanan

KUALA KUBU BHARU: Lebih 30 peserta yang mengikuti kursus bahasa Arab sebagai persediaan ke Timur Tengah, di sebuah pusat latihan, Hulu Yam dekat sini mengalami cirit-birit, sakit perut, pening dan muntah-muntah dipercayai akibat keracunan makanan.

Kejadian itu dialami antara jam 4.30 petang hingga 10 malam kelmarin dipercayai berpunca daripada hidangan makan tengah hari yang tercemar di dewan makan pusat latihan tersebut.

Peserta kursus, Syahirah Amirrudin, 18, berkata, dia antara mangsa terawal mengalami cirit-birit dan sakit perut yang teruk kira-kira jam 4.30 petang.

“Petang itu, sebelum waktu solat Asar saya mengalami cirit-birit dan sakit perut yang teruk sampai hampir pengsan.

“Bukan saya seorang saja, tetapi ramai rakan lain yang turut mengalami masalah sama sampai ada yang pengsan kerana sangat sakit,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) di sini malam kelmarin.

Menurut Syahirah, dia percaya telur sambal yang dihidangkan ketika makan tengah hari menjadi punca masalah itu.

Menurutnya, kebanyakan peserta kursus mengalami keracunan itu setelah mengambil makanan tersebut.

Katanya, pada peringkat awal hanya beberapa peserta kursus saja terlibat, namun bilangan mangsa meningkat mendadak menjelang Maghrib.

“Kami menerima rawatan awal di klinik kesihatan berdekatan sebelum diarahkan ke hospital ini setelah bilangan mangsa keracunan meningkat.

“Saya hanya menerima rawatan biasa tapi ada rakan lain termasuk yang pengsan terpaksa diberi rawatan kecemasan,” katanya.

Seorang lagi peserta kursus, Azra Qistina Abdul Azis, 18, berkata, dia mengalami simptom sama pada waktu maghrib ketika sedang membuat persiapan penutup kursus tersebut.

“Saya kumpulan kedua yang mengalami keracunan ketika hampir waktu Maghrib,” katanya.

Menurutnya, mereka dikejarkan ke klinik berdekatan sebelum dibawa ke HKKB kira-kira jam 10 malam.

Azra Qistina berkata, dia bersama seramai 167 peserta kursus bahasa Arab baru saja mengakhiri kursus persediaan ke Mesir dan Jordan selama sebulan di pusat latihan tersebut.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas pihak pengurusan tidak berhasil memandangkan waktu operasi pusat latihan itu tutup pada Sabtu dan Ahad.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat

Leave a Reply