Buat julung-julung kalinya Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada kakitangannya di seluruh Malaysia sempena bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Menurut Pengarah RISDA negeri Perak, Amran Jaafar, program yang dianjurkan serentak di seluruh negara itu antara lain bertujuan merapatkan hubungan antara majikan dan pekerja.
“Program ini juga dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan pihak majikan di atas keperluan kakitangan RISDA.
“Bertemakan slogan ‘Sayangilah RISDA, Kasihi Pekebun Kecil’, progam ini juga diharap dapat memastikan kesemua kakitangan menikmati hidup berkualiti, mengamalkan nilai-nilai hidup murni serta mengutamakan perpaduan dan keamanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan dan majlis tahlil perdana sempena menyambut Ramadhan 2013 di Ipoh, hari ini.
Di majlis tersebut, seramai 170 kakitangan agensi itu menerima sumbangan sekaligus menjadi penerima awal bantuan berkenaan.
Beliau berkata, kesemua kakitangan RISDA bakal menerima sumbangan berupa beras, gula dan kurma.
“Selain menyerahkan sumbangan kepada kakitangan, kita juga bercadang mengagih-agihkan bantuan ini kepada badan kebajikan seperti pertubuhan anak yatim,” jelas beliau lagi.
Tambah Amran lagi, seramai 422 kakitangan yang berkhidmat di tujuh daerah di negeri itu bakal menerima sumbangan terbabit.
Daerah Hilir Perak mencatat jumlah penerima tertinggi yang menerima sumbangan iaitu 71 orang, diikuti Kuala Kangsar (69); Taiping, Selama & Kerian (61); Hulu Perak (59); Perak Tengah (58); Manjung (55) dan Pejabat RISDA negeri (49).
Tambah beliau lagi, sepanjang bulan Ramadhan ini, pelbagai program pengisian istimewa akan dianjurkan seperti tadarus dan khatam Al-Quran serta majlis sambutan Aidilfitri.
Terdahulu, dalam ucapannya, Amran menggesa kakitangan agensi itu bertanggungjawab untuk mengubah, mencorak dan bersama-sama membina masa depan yang lebih cemerlang.
Selain sumbangan kepada pekerja, RISDA juga bakal memberi sumbangan berbentuk kewangan, barangan seperti baju raya dan makanan kepada pertubuhan anak-anak yatim yang terpilih sepanjang Ramadhan ini.
“Bagi cawangan RISDA Perak sahaja, dianggarkan sejumlah RM3,000 diperuntukkan untuk menyediakan 5 kg beras, 1 kg gula serta buah kurma kepada seluruh kakitangan yang berkhidmat dengan agensi ini,” kata Amran lagi.
Amran juga berharap program itu bakal menjadi tradisi tahunan kepada agensi berkenaan agar hubungan antara pihak majikan dan kakitangan terus terjalin erat.