Berita Hari Ini

Aidilfitri: Bekalan kelapa dijangka cukup

ismail-sabri-yaakob

Bekalan kelapa bagi menampung permintaan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini dijangka mencukupi kerana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengambil langkah awal dengan mengimport kelapa tambahan dari Indonesia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata FAMA akan membawa masuk tiga juta biji kelapa untuk sambutan lebaran kali ini.

Penggunaan kelapa domestik dalam bulan-bulan biasa adalah kira-kira 30 juta biji sebulan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Sungai Besar di sini, semalam.

Ditanya mengenai pembangunan benih padi Aerob, beliau berkata projek perintis padi baharu itu sedang dilaksanakan di Seberang Perai dan tuaian pertama dapat dilakukan September ini.

Jika projek itu berjaya, beliau berkata, benih padi yang boleh ditanam dalam tiga musim dan tidak memerlukan air yang bertakung akan dipromosikan kepada para petani untuk menanamnya pada tahun depan.

“Benih padi ini dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan air terutama di kawasan luar jelapang dan padi boleh disiram menggunakan ‘sprinkler’ sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail berkata, kejayaan sesuatu program pertanian itu bukan sahaja bergantung kepada kementerian yang membuat dasar tetapi hasil usaha petani.

Beliau berkata, antara punca sesetengah pesawah padi tidak mendapat hasil tuaian melebihi empat tan sehektar kerana mereka tidak mengikut Amalan Pertanian Terbaik.

Sebagai contoh, katanya, jika mereka disyorkan menggunakan empat kampit baja untuk satu petak sawah, mereka hanya menggunakan dua kampit baja sahaja menyebabkan hasil padi tidak seberapa.

Ismail juga berkata, bagi menggalakkan penglibatan golongan muda dalam pertubuhan peladang, kementerian akan menubuhkan Agropreneur Muda.

Penubuhan unit itu masih di peringkat penyediaan kertas kerja dan ia antara lain mengandungi Majlis Perundingan Agropreneur yang akan dipengerusikannya.

Ismail berkata program itu menggunakan pendekatan baru seperti internet bagi menarik golongan muda menceburi sektor pertanian.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");