Jenayah

Anak ketua pengarang TV3 maut, dua parah dalam kemalangan

gambar hiasan:-
gambar hiasan:-

TEMERLOH – Anak kepada Ketua Pengarang Berita TV3, Mohd. Khaidir Ahmad, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di km143 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Mentakab malam tadi.

Mangsa, Muhammad Luqman Mohd Khaidir, 26, mati di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, kedua-duanya lelaki, seorang pemandu kereta Proton Wira berumur 21 tahun, dan penumpang bahagian belakang, 31, cedera parah.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, kenderaan yang terbabit dalam nahas itu ialah kereta Proton Wira yang dinaiki mangsa, sebuah kereta jenis Toyota Corolla dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintenden Zundin Mahmood, ketika kejadian mangsa bersama dua rakannya itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.

“Di tempat kejadian, dipercayai kereta dinaiki mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar Toyota Corolla terbabit menyebabkan kenderaannya berpusing dan melintang di atas jalan sebelum dirempuh Perodua Kancil yang datang dari arah Kuantan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, turut parah ialah pemandu Perodua Kancil seorang lelaki berumur 64 tahun, sementara pemandu Toyota Corolla berkenaan hanya cedera ringan.

Mohd. Khaidir ketika ditemui berkata, anak kedua daripada enam beradik itu pergi ke Kuala Lumpur bersama dua rakannya itu untuk membeli persiapan bagi menyambut hari raya nanti.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");