Berita Hari Ini

Atasi krisis air pada Aidilfitri

PAIP

BERA: Perbadanan Bekalan Air Pahang (PAIP) diminta mengatasi krisis bekalan air yang sering berlaku semasa sambutan Aidilfitri di tanah rancangan Felda di negeri ini.

Timbalan Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Felda Wilayah Pahang Barat, Mansor Hashim berkata krisis bekalan air berlaku ekoran pengunaan air meningkat apabila penghuni dan keluarga peneroka yang berada di luar tanah rancangan pulang berhari raya.

“Kebiasaannya sebahagian besar keluarga daripada 36 tanah rancangan Felda di wilayah ini yang mempunyai kira-kira 16,000 peneroka akan terputus bekalan air pada hari raya.

“Lazimnya masalah air berlaku pada musim perayaan disebabkan paip pecah atau loji bekalan air mengalami kerosakan manakala di sesetengah tanah rancangan pula bekalan air terus terputus hingga berminggu-minggu lamanya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau mencadangkan PAIP menyediakan lori tangki atau tong besar di setiap tanah rancangan yang sering menghadapi masalah bekalan air pada hari raya untuk mengatasi masalah berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Naib Pengerusi JKKR Wilayah Jengka Sulaiman Bakar menasihatkan peneroka di gugusan itu supaya menyimpan bekalan air mencukupi bagi mengelak putus bekalan air pada Aidilfitri.

Ini kerana katanya masalah putus bekalan air di kawasan berkenaan boleh berlarutan hingga berminggu-minggu berikutan pekerja PAIP bercuti pada hari raya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di beberapa rancangan Felda di wilayah Jengka mendapati ada kalangan peneroka sudah membeli tangki besar untuk menyimpan air bagi persediaan menghadapi krisis bekalan air.

Mohd Yunus Saad dari Felda Jengka 23 berkata dia berbelanja RM350 membeli tangki 500 liter untuk menyimpan air kerana bimbang putus bekalan air.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");