Jenayah

Bina hotel guna air ‘haram’

Operasi yang dilakukan Span dan SAMB berjaya menemui bukti syarikat kontraktor bagi projek pembinaan sebuah hotel bajet di bandaraya ini melakukan penyambungan bekalan air secara haram:-

BANDARAYA MELAKA – Tindakan sebuah syarikat kontraktor yang disyaki membuat penyambungan secara tidak sah bekalan air bagi kegunaan pembinaan sebuah hotel bajet di bandaraya ini akhirnya terbongkar.

Ia berikutan satu serbuan yang dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), di sini, kelmarin.

Menurut Pegawai Undang-undang SAMB, Norzawani Ibrahim, serbuan dilakukan pada jam 10 pagi, diketuai wakil Span Wilayah Selatan, Mohd Hafezee Halim termasuk 10 orang kakitangan SAMB.

Jelasnya, kerja pengintipan penyambungan air haram tersebut telah dilakukan sejak 11 April lalu.

“Hasil siasatan mendapati terdapat unsur penyambungan secara tidak sah berdekatan dengan sambungan bermeter yang dilakukan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Namun hasil kecekapan Unit Penguatkuasaan SAMB, satu sambungan haram menggunakan paip jenis High Density Poly Ethlene (HDPE) bersaiz 25 milimeter berjaya dikesan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Seksyen 123, kerana melakukan sambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua duanya.

“Span juga akan menyita paip yang digunakan itu sebagai bukti dan mengeluarkan notis kesalahan kepada kontraktor berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");