Berita Hari Ini
Like

BNBBC tegur SKMM gagal kawal media sosial

July 2, 2013
62 Views
0 Comments
2 minutes read
no-cover

media sosialKUALA LUMPUR – Seorang penyokong kerajaan hari ini melahirkan kekecewaan atas kegagalan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengawal media sosial dan menyifatkannya sebagai ‘harimau tidak bertaring’.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata kelemahan sistem dan penguatkuasaan hukuman yang dilaksanakan suruhanjaya itu menyebabkan pihak berpentingan mengambil kesempatan menggunakan media sosial untuk merosakkan kemakmuran dan keharmonian negara.

Beliau berkata keadaan itu menjadikan mahkamah tidak boleh mengambil tindakan sedangkan keadaan yang berlaku hasil penggunaan media sosial secara tidak bermoral yang berleluasa itu semakin membimbangkan.

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan undang-undang lebih tegas supaya masalah berkaitan media sosial khususnya berkaitan dengan penyalahgunaannya dapat diatasi.

“Saya cukup kecewa dengan SKMM sebab gagal kawal media sosial. Jadi, saya terpanggil untuk membahaskan tentang SKMM, yang seolah-olah ‘harimau tidak bertaring’.

“…dan saya juga bersetuju dengan cadangan mewujudkan satu mahkamah khas bagi membicarakan kes-kes melibatkan isu media siber,” katanya merujuk cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini.

Bung Mokhtar menarik perhatian dewan bahawa keadaan begitu tidak berlaku di Singapura dan Britain hasil tindakan melesenkan media sosial, sekali gus berjaya memastikan pihak berkenaan bertanggungjawab ke atas apa yang dikeluarkan.

“Sebab itu saya minta kerajaan kaji akta yang ada supaya SKMM punyai sistem, pendekatan dan akta yang lebih tegas untuk menyekat mana-mana pengamal media sosial daripada terlalu bebas agar negara tidak terjebak dalam kejadian yang berlaku seperti di Mesir,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat

Leave a Reply