Jenayah

Cubaan larikan lembu, lelaki cedera dibelasah

gambar hiasan:-

ALOR GAJAH: Seorang lelaki cedera dibelasah penduduk Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah di sini, ketika cuba melarikan seekor anak lembu, awal pagi kelmarin.

Difahamkan, suspek berusia 25 tahun itu dipukul ketika cuba meloloskan diri selepas disergah penduduk kampung termasuk pemilik anak lembu berkenaan, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi.

Menurut sumber, sebelum kejadian, suspek bersama tiga rakannya berusia 20 dan 30-an yang menaiki dua kereta berasingan dilihat berlegar-legar di sekitar kampung selepas dipercayai menyumpit ubat pelali pada dua anak lembu itu.

“Keempat-empat mereka dalam keadaan mencurigakan apabila dilihat berpusing-pusing di sekitar kampung ini selain ada penduduk yang ternampak jarum dipercayai ubat pelali pada dua lembu selain kaki lembu diikat tali.

“Mengesyaki sesuatu, penduduk termasuk pemilik lembu berkenaan sepakat untuk menyorok di sebalik pokok dan menunggu keempat suspek bersama dua kereta dinaiki mereka kembali,” katanya.

Menurutnya, namun hanya dua orang yang menaiki satu kereta sahaja yang kembali dan penduduk kampung menyergah suspek menyebabkan mereka cuba melarikan diri.

“Salah seorangnya berjaya memecut laju kereta sementara seorang lagi yang cuba berlari ke arah ladang kelapa sawit berjaya dikejar.

“Penduduk kampung terpaksa memukulnya sedikit disebabkan dia cuba melawan sebelum kami menyerahkan mereka kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Menurutnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");