Jenayah

Dua kenderan disita, 120 saman

OPERASI BERSEPADU

SEREMBAN: Sebanyak 384 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Hentian Senawang arah Utara Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, kelmarin.

Operasi bersepadu yang bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 12 malam itu melibatkan 342 pegawai dan anggota daripada 16 agensi kerajaan.

Ketua Pengarah JPJ Malaysia, Datuk Ismail Ahmad berkata, daripada statistik operasi diperoleh daripada 874 kenderaan pelbagai jenis diperiksa, 384 dikenakan tindakan.

“Daripada jumlah tersebut dua kenderaan disita, 120 saman dikeluarkan dan 264 notis membabitkan kesalahan teknikal.

“Manakala 160 kes lagi membabitkan tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan,” katanya pada sidang media selepas operasi itu, kelmarin.

Ismail berkata, sebanyak 11 kenderaan pula dikenakan tindakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana didapati melepaskan asap melebihi kadar dibenarkan manakala Jabatan Kastam membuka tiga siasatan ke atas sebuah motosikal dan dua kereta kerana membawa dua barangan tidak dibenarkan.

“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) turut membuka 22 kes ke atas kenderaan disebabkan membawa lebih muatan.

“Selain itu, enam pemandu yang didapati positif syabu dan ganja turut ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

Katanya, tahun ini Negeri Sembilan adalah yang pertama menjalankan Ops Bersepadu bersama agensi lain dan ia diadakan menjelang Ramadan dan Syawal.

“Kita berharap operasi seperti ini dapat menyedarkan pemandu mengenai kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.

Menurutnya, bagi kes berasingan, Jabatan Imigresen menahan tujuh warga Indonesia, 10 Myanmar dan masing-masing seorang warga Nepal, Bangladesh dan Vietnam kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Antara agensi yang terlibat adalah JPJ, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), anggota polis trafik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, AADK, Jabatan Imigresen, SPAD,
Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, JAS, Jabatan Kastam, PLUS dan Propel Sdn Bhd.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");