Jenayah

Dua wanita dihukum penjara

PENJARA

IPOH: Dua wanita dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan dan kematian seorang peniaga barangan lusuh di sebuah hotel di sini pada 10 Mei 2010.

Tertuduh, M Sri Saraswathi, 31, dan S Piriyatarschini, 24, mengangguk faham selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan pilihan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani.

Sewaktu, hukuman dijatuhkan, kedua-dua tertuduh kelihatan tenang seolah-olah sudah bersedia dengan hukuman yang bakal diterima.

Mengikut pertuduhan pilihan, kedua-dua mereka menyebabkan kematian B B Thangaraja, 38.

Kejadian itu berlaku di bilik bernombor 406 Hotel Dragon & Phoenix, No. 23-25 Jalan Toh Puan Chah, Ipoh, antara jam 6.30 hingga 7.30 petang pada 10 Mei 2010.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan denda.

Sebelum ini mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, R Segaren, memohon mahkamah supaya meringankan hukuman memandangkan kesalahan tersebut adalah yang pertama dilakukan oleh anak guamnya.

Beliau menyatakan bahawa pengakuan bersalah yang dibuat anak guamnya adalah satu faktor litigasi yang mahkamah perlu pertimbangkan dalam membuat keputusan.

Selain itu, Segaren turut meyakinkan mahkamah bahawa kedua-dua anak guamnya sudah insaf dan sedar akan perbuatan tersebut yang tidak memberi sebarang keuntungan pada mana-mana pihak.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Khairuddin memohon supaya mahkamah mengekalkan hukuman 15 tahun penjara yang dikenakan ke atas tertuduh.

Dalam perkembangan sama, isteri mangsa, C Jagathiswary,32, turut memberi keterangan bersumpah (Victim Impact Statement) sebelum keputusan dibacakan.

Jagathiswary dalam keterangannya memberitahu dia sekeluarga menderita dan menjalani kehidupan sukar selepas kematian suaminya.

Dia berkata, selepas kematian suaminya, mereka kehilangan punca pendapatan memandangkan hanya suaminya yang bekerja untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Selepas mendengar dan mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak Zainal Adzam memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun yang berkuatkuasa dari tarikh tangkap pada 25 Mei 2010.

Dalam laporan akhbar sebelum ini, mangsa ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah oleh seorang pekerja sebuah hotel di Pekan Baru ketika mengemas bilik berkenaan.

Lebih menyedihkan dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa bukan saja dirompak dan dibunuh dengan kejam termasuk ditoreh di dahi dan beberapa bahagian badan, malah kemaluannya turut dipotong sekumpulan lelaki dipercayai menceroboh masuk bilik sebuah hotel bajet tempatnya menginap.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");