Sukan Hari Ini

Jadi contoh baik kepada atlet

PTJ12_080713_KJ_ATLIT

PENGURUS dan jurulatih harus bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan disiplin yang baik dalam kalangan atlet bagi menjamin tiada insiden salah laku.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, sebagai jurulatih dan pengurus pasukan, mereka bukan sahaja memberikan nasihat dalam bidang sukan yang diceburi, malah menjadi model yang baik kepada atlet.

“Ini penting terutama membabitkan atlet pelapis, sebagai jurulatih yang berpengalaman seharusnya memberikan contoh yang baik kepada atlet mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan atlet negara di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes seorang pegawai pengiring skuad bola baling Wilayah Persekutuan yang mendakwa dirogol di Perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang Rabu lalu.

Susulan laporan yang dibuat mangsa, polis menahan tiga atlet bola baling lelaki Sukma 2013 bagi membantu siasatan berkaitan kes rogol yang dilaporkan di Perkampungan Sukan tersebut.

Khairy berkata, laporan yang diterima mendapati sebelum kejadian itu berlaku, individu terlibat dikatakan membawa masuk minuman keras ke Perkampungan Sukan, malah diketahui jurulatih mereka.

“Apa yang jurulatih buat. Saya mendapati mereka (jurulatih dan pengurus pasukan) gagal dalam memberikan contoh yang baik kepada atletnya,” tegasnya.

Beliau berkata insiden seumpama itu tidak boleh dikompromi dan ekoran itu, satu jawatankuasa yang dianggotai pegawai Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM), Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah ditubuhkan bagi mempercepat siasatan terhadap kejadian tersebut.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu juga bagi menyiasat keselamatan penganjuran Sukma oleh MSN.

Namun, Khairy menganggap insiden itu juga bukan bermakna para atlet mempunyai krisis disiplin kerana baginya, Malaysia mempunyai atlet yang cukup baik seperti jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, malah ribuan atlet datang dan pergi tanpa sebarang masalah.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Skim Penampilan Atlet telah diperkenalkan dalam usaha memasarkan atlet negara yang berbakat untuk menjadi jurucakap atau model sesuatu produk di pasaran.

“Usaha ini bagi membangunkan industri sukan serta meningkatkan ‘saham’ atlet di pasaran,” katanya sambil menambah telah melakukan kerjasama dengan agensi pengiklanan.

Katanya, ketika ini hanya atlet tertentu yang berjaya menarik minat syarikat swasta seperti Datuk Nicol David dan Chong Wei, namun sebenarnya ramai lagi yang megah di peringkat dunia dan kebangsaan, tetapi tidak berjaya menembusi dunia pengiklanan.

Tambahnya, perkara itu kini masih dalam peringkat permulaan dan atlet yang ada tarikan serta mempunyai keterampilan, akan dikenal pasti dan diserahkan kepada casting agency untuk diwujudkan pangkalan data.

“Skim tersebut juga bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan melalui penglibatan sektor swasta terhadap penganjuran sukan di Malaysia.

“Untuk tahun ini sahaja, kerajaan membelanjakan sehingga RM50 juta bagi penganjuran sukan seperti Sukma dan Piala Monsun dan diharapkan pada tahun-tahun akan datang, jumlah itu akan berkurangan,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");