Perak Hari Ini

Jawatankuasa Khas Perlu Diwujudkan Bantu Golongan Berpendapatan Rendah: Devamany

PERAKTODAY5

Sebuah jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi mengenalpasti dan membantu rakyat yang berpendapatan rendah di negeri Perak menangani kos sara hidup yang semakin meningkat dewasa ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk SK Devamany, menjelaskan kadar pendapatan RM440 sebulan yang dikatogerikan sebagai miskin tegar juga perlu dinilai semula bagi merapatkan jurang ekonomi rakyat di negeri itu.

“Daripada aduan yang diterima, kebanyakan rakyat menyuarakan masalah mengenai kekangan kewangan berikutan gaji yang rendah, sukar mendapat pekerjaan dan jumlah tanggungan keluarga yang membebankan.

“Sebagai contoh, hari ini saya mendengar lima kes yang berpunca daripada kehilangan sumber ekonomi ekoran faktor kesihatan membabitkan ibu tunggal yang kematian suami serta golongan belia yang sukar mencari pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bersama Rakyat di Ipoh, hari ini.

Devamany menjelaskan, faktor gaji rendah yang tidak setimpal dengan jumlah tanggungan keluarga juga membebankan rakyat selain peningkatan kos sara hidup termasuklah harga barang keperluan harian yang semakin melambung tinggi.

“Selain itu, kesukaran untuk menyuarakan masalah juga membelenggu rakyat kerana mereka tidak mengetahui badan atau pihak mana yang sepatutnya dirujuk untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

“Oleh itu, saya berpendapat bantuan khas serta kaedah baru perlu diwujudkan antaranya khidmat kesihatan secara percuma, kemudahan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dan bantuan pelajaran bagi membantu golongan ini,” katanya lagi.

Tambah Devamany, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan mengambil serius terhadap isu rakyat dan transformasi harus bermula dengan  pembinaan modal insan.

Tegas beliau lagi, khidmat seperti e-Kasih antara bantuan yang diwujudkan bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah keluar dari kepompong kemiskinan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");