Berita gembira buat kira-kira 14,000 kakitangan awam di Perak apabila mereka bakal menerima bonus khas Hari Raya RM500 seorang yang akan dibayar dalam tempoh dua minggu akan datang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Bercakap kepada pemberita di Ipoh selepas penyerahan bungkusan kuih Hari Raya di Dewan Bankuet sebentar tadi, beliau berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 4,000 daripadanya berkhidmat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan berkanun secara kontrak dan sambilan.
“Kerajaan negeri juga mengikut jejak langkah kerajaan Pusat untuk mengumumkan bonus duit Hari Raya bernilai RM500 kepada kakitangan awam dan mereka akan menerima bayaran masing-masing sebelum Hari Raya,” katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam Gred 1 hingga 54, RM250 kepada pesara.
Bayaran dibuat pada 31 Julai ini.