Tidak dinafikan, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan baik di peringkat Pusat dan negeri untuk membasmi kemiskinan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Di bandar raya Ipoh misalnya, sebanyak 40 buah kiosk dibina di beberapa lokasi untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan.
Di bawah peruntukan Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, kira-kira RM600,000 diluluskan bagi tujuan itu termasuklah membina kiosk penjaja e-Kasih yang berukuran 2.4 meter X 1.8 meter yang siap sepenuhnya kira-kira dua tahun yang lalu.
Menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB), Jabatan Hal Ehwal Komuniti mengenalpasti individu yang layak dan berdaftar dengan sistem E-Kasih untuk menjayakan program bantuan kiosk penjaja itu.
Manakala Jabatan Kejuruteraan pula diberi tanggungjawab untuk mereka bentuk kiosk yang mana kos pembinaan sebuah kiosk adalah RM10,000 dan modal permulaan sebanyak RM5,000 disediakan kepada setiap peserta yang layak.
Lokasi pembinaan kiosk penjaja e-Kasih ialah di Jalan Raja Perempuan Mazwin (Taman Rishah) iaitu 4 buah, Jalan Sg Pari (Buntong Harmoni) 4 buah; Chemor (Medan Letak Kereta) 6 buah; Ampang (Persiaran Wirajaya Barat 32) 6 buah; Rapat Setia (Jalan Teoh Kim Swee) 6 buah; Pengkalan (Jalan Pengkalan Barat 32) 4 buah; Kampung Sg Rokam (Jalan Rokam) 6 buah dan Taman Perpaduan, 4 buah.
Seramai 40 peserta dipilih selepas sesi temuduga tetapi hanya 38 yang menjalankan perniagaan dengan modal awal RM2,520 diserahkan kepada peserta manakala baki sebanyak RM2,000 akan diserahkan sekiranya peserta aktif berniaga.
Malangnya, tinjauan Peraktoday.com mendapati kebanyakan kiosk penjaja E-Kasih ini tidak beroperasi dan kelihatan terbiar begitu sahaja seolah-olah tidak mendapat sambutan daripada pengunjung.
Difahamkan, setiap kiosk berkenaan sudah mempunyai pemilik berdaftar tetapi masih tidak beroperasi meskipun setiap peserta menerima bantuan modal berjumlah RM5,000 untuk memulakan perniagaan mereka.
Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, kiosk yang dibina MBI sejak dua tahun lalu tidak mendapat sambutan berikutan pelbagai kekurangan dari segi pembinaannya.
Struktur pembinaan kiosk yang sempit menjadi masalah utama mengapa peserta program itu tidak menjalankan perniagaan di tempat yang disediakan.
Menurut beliau lagi, pelanggan lebih selesa dan memilih untuk membeli di gerai terbuka yang beroperasi di tepi jalan.
Selain itu, kiosk itu juga katanya, tidak mesra pelanggan kerana kaunter jualan dibina tinggi hingga menyukarkan peniaga dan pelanggan berjual beli.