Jenayah

Masih tidak serik

tak serik

Operasi bersepadu secara berterusan melibatkan polis, MPK dan TNB berjaya mengekang kegiatan perjudian internet daripada terus berleluasa:-

KUANTAN – Segelintir dalang kegiatan perjudian internet di sini dikesan melakukan sambungan haram bagi menyambung semula bekalan elektrik ke premis mereka selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan itu sebelum ini.

Taktik yang digunakan itu berjaya dibongkar hasil beberapa serbuan polis ke atas premis sekitar Kuantan sebelum ini.

Walaupun tindakan demi tindakan diambil, mereka tidak pernah serik malah sanggup mencabar undang-undang semata-mata mengejar keuntungan disebabkan permintaan tinggi terhadap permainan itu di kalangan kaki judi.

Bagi mengekang kedegilan dalang judi internet itu, operasi demi operasi dilakukan termasuk menjalankan pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang dikenal pasti.

Dalam operasi lewat petang semalam, bekalan elektrik di 19 premis sekitar Kuantan termasuk Jalan Wong Ah Jang, Jalan Air Putih dan Jalan Pasar di sini dipotong TNB.

Operasi bersepadu bermula jam 3 petang itu melibatkan pegawai Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), TNB dan polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, premis yang dikenakan tindakan akan direkodkan dan jika pemilik atau penyewa baru ingin menyambung semula bekalan elektrik, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis.

Menurutnya, pihak TNB akan memproses permohonan mereka termasuk menyambung bekalan selepas kebenaran dikeluarkan.

“Bagaimanapun ada segelintir pengusaha kegiatan ini sanggup mengambil risiko melakukan sambungan secara haram,” katanya.

Mohd Jasmani berkata, sepanjang Januari hingga 5 Julai tahun ini, sebanyak 23 premis dikenakan tindakan pemotongan elektrik melibatkan beberapa kawasan termasuk Gambang, sekitar bandar Kuantan, Gebeng dan
Chendor.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga turut mengambil tindakan di bawah bidang kuasa mereka apabila bertindak memotong akses internet kepada 15 premis sepanjang tempoh yang sama.

“Manakala 64 premis lagi dalam tindakan membatalkan lesen dan pemotongan elektrik,”katanya.

Beliau berkata, susulan siri operasi yang dilakukan Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, sebanyak 2,299 set komputer bernilai RM2.29 juta berjaya dirampas tidak termasuk wang pertaruhan RM45,346.

“Kita juga berjaya menahan 654 individu termasuk pemain dan penjaga premis hasil 215 serbuan yang dijalankan.

“Daripada jumlah itu, 39 individu sudah dituduh di mahkamah di mana 26 yang didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sudah dijatuhkan hukuman denda antara RM350 hingga RM2600 atau penjara antara 5 hari hingga 3 bulan,”katanya.

Mohd Jasmani berkata, 13 lagi masih dalam proses perbicaraan.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");