MACHANG: Orang ramai meminta kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggantikan jubin yang pecah dan rosak di taman permainan kanak-kanak di hadapan Padang Majlis Daerah Machang di sini, semalam.
Mereka bimbang jubin itu akan membahayakan keselamatan kanak-kanak yang leka bermain di kawasan taman tersebut terutamanya pada hujung minggu.
Seorang penduduk, Hassan Mail berkata, jubin yang rosak itu mampu menyebabkan kecederaan parah kepada kanak-kanak yang bermain di situ.
Katanya, jubin itu perlu digantikan dengan yang baru manakala yang lama perlu dibersihkan agar keselamatan orang ramai terpelihara.
“Bukan ibu bapa tidak mampu memantau anak-anak mereka namun jubin tersebut tidak selamat dan membahayakan, jadi kami harap ia akan digantikan dengan yang baru.
“Jubin tersebut dipasang pada bahagian tangga untuk ke permainan gelongsor yang diperbuat daripada simen di taman itu namun malangnya, sebahagian besar jubin itu tercabut,” katanya.
Hassan berkata, alat-alat permainan yang rosak juga perlu dialih bagi mengelakkan diguna kanak-kanak lalu membahayakan mereka.
Katanya, dalam masa yang sama, orang ramai berterima kasih atas usaha PBT menjaga kebersihan di beberapa taman yang terdapat di Bandar Machang.
Menurutnya, kebersihan taman-taman tersebut sentiasa terjaga dan selesa dikunjungi orang ramai sebagai pusat rekreasi di hujung minggu.
“Kami berharap, aduan ini mendapat perhatian yang sewajarnya demi kebaikan bersama,” katanya.
-SINAR HARIAN