DAVID Moyes bergambar di sisi logo Manchester United pada majlis memperkenalkan beliau sebagai pengurus baharu kelab itu di Old Trafford, semalam:-
MANCHESTER – Pengurus baharu Manchester United, David Moyes berkata, adalah mustahil untuk menyamai pencapaian Alex Ferguson yang memenangi 38 trofi sepanjang 26 tahun di Old Trafford.
Bercakap pada sidang akhbar pertamanya sebagai pengurus United di sini semalam, Moyes berkata, dia tidak fikir akan muncul seorang pengurus seperti Ferguson, yang begitu lama berkhidmat di United.
“Namun saya harap dia akan hadir menyaksikan perlawanan kerana dia terlalu bagus, Malah saya sudah menghubunginya dua atau tiga kali untuk meminta nasihat.
“Alex tidak dapat dipisahkan dengan Old Trafford. Namanya akan terus dikenang dan di sini satu tugu peringatan telah dibuat untuknya namun tiada tekanan buat saya,” katanya.
Moyes juga mengakui menjadi pengurus United umpama mimpi. Ia bermula apabila Ferguson menemuinya secara peribadi dan terus menawarkan peluang sebagai pengurus United, seminggu sebelum Ferguson mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak.
Pada awalnya Moyes menyangka pertemuan dengan Ferguson sekadar perbincangan biasa khususnya soal pembelian pemain.
“Saya bertemu dengan Alex Ferguson serta ahli lembaga kelab sebelum saya disahkan menjadi pengurus baru United.
“Situasi itu cukup aneh dan tidak tahu apa yang saya boleh katakan. Sebelum itu saya tidak tahu apa tujuan apa mereka memanggil saya serta dikehendaki datang ke rumah Ferguson. Pada mulanya saya fikirkan dia mahu membeli salah seorang pemain saya (pemain Everton).
“Perkara pertama yang disebut ialah dia mahu bersara. Seterusnya dia (Ferguson) berkata, ‘anda adalah pengurus Manchester United selepas ini. Saya sendiri tidak mampu berkata sama ada ya atau tidak.
“Muka saya pucat apabila dia berkata begitu. Ia sesuatu yang mengejutkan kerana dia melihat saya sebagai penggantinya,” katanya.
Mengenai Wayne Rooney, yang dikatakan mahu mahu berpindah, Moyes menegaskan penyerang antarabangsa England itu tidak akan dijual.
– Agensi