Jenayah
Like

Nasi berlauk ayam ‘lipas’

July 30, 2013
310 Views
0 Comments
2 minutes read
Nasi berlauk ayam ‘lipas’
lipas

Georgetown: Sebanyak 24 premis makanan di negeri ini diarah tutup selama dua minggu berkuat kuasa serta-merta kerana gagal mematuhi kebersihan penyediaan makanan pada operasi pemeriksaan dan penutupan premis makanan fasa ketiga, semalam.

Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan negeri, Ku Nafishah Ku Ariffin, berkata arahan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dengan pemilik premis boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika gagal mematuhinya.

51 kompaun dikeluar

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan 51 kompaun kepada pemilik premis kerana mengabaikan aspek kebersihan.

“Operasi kali ini turut mengesan tempat pemprosesan cincau di sebuah rumah di Seberang Prai Tengah (SPT) dengan aspek kebersihannya tidak memuaskan.

“Pelbagai kesalahan lain turut dikesan dalam operasi bersepadu ini seperti meletakkan makanan yang dipotong di atas lantai, haiwan peliharaan seperti anjing berkeliaran dalam premis dan kehadiran makhluk perosak seperti lipas pada bahan makanan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ku Nafishah berkata, dua gerai bazar Ramadan diarah tutup dalam Ops Ramadan yang dijalankan di negeri ini sejak umat Islam mula berpuasa pada 10 Julai lalu.
Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan sejak 20 hari lalu, sebanyak 2,895 bazar Ramadan diperiksa.

“Sebanyak 112 sampel makanan turut diambil dan empat sampel dikesan tidak mematuhi piawaian mikrobiologi.

“Keputusan pemeriksaan tahun ini nampaknya lebih baik daripada tahun sebelumnya dengan pihak berkuasa tempatan juga mengambil tindakan awal memberi suntikan tifoid,” katanya.

Operasi bersepadu itu membabitkan seramai 98 anggota dan pegawai dari Jabatan Kesihatan negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

– BERITA HARIAN

Leave a Reply