Perak Hari Ini

Nasib Rakyat DUN Changkat Jong Terbela

PERAKTODAY4

Rakyat Teluk Intan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong kini berpeluang menyuarakan sebarang permasalahan kepada Pusat Khidmat Masyarakat yang mula beroperasi sejak dua bulan yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Mohd Azhar Jamaluddin, berkata pusat yang beroperasi lima hari seminggu dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu menjadi platform terbaik kepada rakyat tempatan untuk mengadu dan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka selama ini.

Katanya, rakyat di Parlimen Teluk Intan amnya dan DUN Changkat Jong khususnya teraniaya dalam tempoh 10 dan lima tahun yang lalu apabila wakil rakyatnya dilihat gagal melaksanakan tugas dan amanah sebagai wakil rakyat di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Apabila pusat ini beroperasi hampir dua bulan lalu, rakyat Teluk Intan begitu teruja kerana mereka kini mempunyai tempat untuk mengadu masalah di kawasan masing-masing.

“Selain itu, pembukaan pusat khidmat ini juga dilihat sebagai tanda kesungguhan wakil rakyat BN untuk menyelesaikan rakyat yang sebelum tiada tempat untuk mengadu.

“Sebelum ini, apabila rakyat berjumpa wakil rakyat pembangkang PAS dan DAP untuk meminta bantuan, alasan tiada peruntukan diberi oleh wakil sebaliknya menyuruh mereka mendapatkan pertolongan dengan kerajaan BN.

“Seharusnya, Pakatan Rakyat (PR) yang menguasai beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kedah sebelum ini perlu menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat mereka di Perak sebaliknya amanah itu diserahkan kepada BN untuk ditangani,” kata Mohd Azhar lagi.

Pusat khidmat itu katanya, akan melambangkan imej BN sebagai parti yang memerintah dan mampu memenuhi selera dan tuntutan rakyat hari ini.

“Seiring dengan peredaran zaman, kerajaan dan wakil rakyat BN juga perlu berubah untuk mendekati rakyat melalui perjumpaan secara terbuka di pusat khidmat setempat.

“Segala urusan perlu diselesaikan segera agar rakyat tidak menunggu terlalu lama dan sebagai contoh, surat sokongan dan cop pengesahan perlu disiapkan dalam tempoh 24 jam sahaja.

“Selain itu, saya juga bercadang mewujudkan jawatankuasa khas untuk membincangkan permohonan dan aduan rakyat sebelum di bawa ke peringkat Mesyuarat Tindakan Daerah dan DUN sendiri,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azhar turut menyambut baik saranan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir agar program Hari Bertemu Pelanggan diseragamkan pada setiap Selasa.

Katanya, pada hari berkenaan, rakyat di sekitar Teluk Intan boleh mengunjungi pusat berkenaan untuk berjumpa dengan Penghulu dan wakil jabatan dan agensi kerajaan bagi menyuarakan sebarang masalah mereka.

“Wakil Wanita, Pemuda, Puteri dan parti komponen lain juga akan hadir sama pada hari terbabit bagi mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat,” tegas beliau lagi.

Sementara itu, beberapa penduduk Teluk Intan yang ditemui menyambut baik usaha yang dilakukan Mohd Azhar yang berjaya merampas kembali kerusi DUN Changkat Jering daripada pihak pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

Zaman Huri Yaakob, 40, berkata pusat itu akan menjadi tempat rujukan kepada masyarakat untuk mengadu sebarang masalah sebelum dirujuk kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Sejak beroperasi, pusat ini menerima kunjungan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama kerana sebelum ini tiada tempat khusus dibuka untuk kemudahan orang ramai mengemukakan sebarang aduan atau permasalahan di kawasan masing-masing,” katanya.

Penduduk Kampung Sungai Kerawai, Mohamed Pesri Khuari, 56, pula berkata, kerajaan perlu memberi perhatian kepada kemudahan prasarana di kampung itu termasuklah membaiki jalan kampung yang rosak.

“Selain itu, penduduk kampung juga mengharapkan kerajaan dapat menyalurkan bantuan membaikpulih rumah serta memperkenalkan Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membolehkan rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman yang lebih sempurna dan selesa,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");