Jenayah

Pelakon mengaku tidak bersalah menipu urusan beli tanah

salbiahKUALA LUMPUR – Pelakon filem terkenal era 80-an, Putri Salbiah Megat Razalli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas enam pertuduhan menipu seorang peguam berhubung pembelian empat lot tanah dan memalsukan dokumen pengenalan diri, tiga tahun lalu.

Putri Salbiah, 49, didakwa atas empat pertuduhan menipu Ng Miow Hia, 47, dengan memperkenalkan orang bersamanya ketika itu, iaitu Maajis Senan, 69 dan Yang Azizah Mohamed Yaacob, 72, adalah Ahmad SK Duis dan Sipah Binte Duis @ Sipak Binte Duez.

Ahmad dan Sipah adalah pemilik tanah di Lot 1230, 1231, 1232 dan 1233 di Mukim Rim, Jasin, Melaka.

Putri Salbiah didakwa melakukan kesalahan itu dalam dua kejadian berasingan di Restoran Burger King, Tingkat Bawah Bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), di sini, masing-masing pada pukul 10.45 pagi, 1 April 2010 dan pukul 11 pagi, 23 Jun 2010.

Bagi empat pertuduhan itu, Putri Salbiah didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia turut didakwa atas dua pertuduhan memalsukan kad pengenalan atas nama Ahmad dan Sipah sebagai pengenalan bagi Maajis dan Yang Azizah.

Kesalahan itu adalah mengikut Peraturan 25(1)(j) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anthony Kevin Morais, menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Morais berkata, jumlah itu adalah munasabah kerana tertuduh tidak memberikan kerjasama kepada polis sehingga akhirnya ditangkap di Brunei dengan kerjasama pihak berkuasa negara itu dan dibawa ke Miri untuk direman.

Sementara itu, peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM10,000 bagi semua pertuduhan.

Ini kerana anak guamnya hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan tidak mampu membayar jumlah jaminan yang tinggi.

Beliau berkata, anak guamnya perlu menjaga bapanya yang sakit di Brunei dan beliau akan memastikan tertuduh hadir pada setiap prosiding mahkamah.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain kemudian memerintahkkan tertuduh membayar wang jaminan RM24,000 bagi enam pertuduhan dan menetapkan 16 Ogos bagi pengurusan kes.

Mahkamah turut mengarahkan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah.

Putri Salbiah dulu pernah membintangi filem Ranjau Sepanjang Jalan bersama aktres Sarimah Ahmad dan filem komedi, Keluarga 99, bersama Salleh Yaacob pada pertengahan tahun 80-an.

– KOSMO!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");