Sukan Hari Ini

Pengorbanan Fadhli berbaloi

bola2

“PENGORBANAN saya berbaloi”, demikian reaksi pemain pertahanan kebangsaan, Mohd. Fadhli Shas yang berjaya menjaringkan gol tunggal buat Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang Chelsea di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ini kerana, Fadhli yang baru selesai membantu Harimau Muda A pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Kazan, Rusia baru-baru ini, langsung tidak berehat sebaliknya terus menyertai latihan skuad kebangsaan sejak Khamis lalu.

Meskipun masih merasai kepenatan kerana beraksi lima perlawanan dalam tempoh 12 hari dari 6 hingga 17 Julai di Kazan, ditambah pula dengan ibadah puasa namun segala kepayahan itu diketepikan oleh Fadhli demi mewakili skuad Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata, ”Alhamdulillah, pengorbanan saya pulang ke Malaysia berbaloi. Saya betul-betul gembira dengan prestasi semalam (malam tadi).

“Apa yang paling penting, saya berjaya menjaringkan gol dengan pasukan yang bertaraf dunia sekali gus menghiburkan peminat yang berada di stadium,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan berakhir.

Ketika ditanya bagaimana perasaannya selepas jaringan berkenaan, Fadhli menjawab: “Sukar untuk dijelaskan. Terlampau gembira. Saya cuma dapat katakan, saya gembira, sangat gembira kerana dapat mempamerkan permainan bola sepak saya dan menjalankan tugas serta menjaringkan gol paling penting untuk semua.”

“Yang paling penting, dapat membuatkan peminat gembira dan itu adalah sesuatu yang tidak ternilai,” ujarnya.

Fadhli juga memberitahu bahawa beliau tidak menyangka dapat menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

“Terkejut. Lagipun pada masa itu, saya tidak fikir apa-apa. Bila saya nampak bola di depan mata saya terus cuba untuk skor dan akhirnya berjaya mengalahkan penjaga gol Chelsea,” jelas beliau.

Semalam, Malaysia telah memberikan yang termampu tetapi inilah realitinya apabila anak-anak buah Datuk K. Rajagobal jelas tidak mampu menandingi kualiti yang ada pada Chelsea apabila tewas 1-4.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");