Jenayah

Peragut cedera ditahan

PERAGUT

SENAI: Tindakan seorang peragut melarikan beg tangan seorang wanita dari sebuah kafe di Taman Mount Austin, dekat sini, berakhir malang apabila bukan sahaja ditahan, tetapi turut cedera di kaki selepas motosikal yang ditunggangi terbabas, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa dilaporkan sedang makan bersama suaminya dan didatangi seorang lelaki yang tiba-tiba melarikan beg tangan jenama Bonia yang diletakkan di pahanya.

Sinar Harian difahamkan, suspek terus melarikan diri menaiki motosikal berwarna biru bersama rakannya yang sedang menunggu di luar kafe.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, mangsa dan suaminya bertindak pantas mengejar kedua-dua suspek menaiki kereta sehingga motosikal yang ditunggang suspek terbabas di Jalan Mutiara Emas 5/15.

“Selepas mengambil beg tangan milik mangsa, suspek berusia 22 tahun itu segera melarikan diri bersama rakannya yang sudah menunggu berhampiran kafe.

“Salah seorang suspek yang dipercayai penunggang motosikal berjaya ditangkap oleh orang awam yang menyaksikan kejadian itu.

“Manakala seorang lagi berjaya melarikan diri selepas mencuri sebuah motosikal lain dalam kejadian itu,” katanya.

Zainuddin berkata, suspek yang mengalami kecederaan pada buku lali kirinya segera dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan susulan dan dia turut direman untuk siasatan lanjut berhubung kes itu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan hasil pemeriksaan turut mendapati suspek merupakan orang dikehendaki bagi kes sama di Taman Pelangi,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa kerugian wang tunai sebanyak RM7,000, telefon bimbit jenis Samsung S3 dan dokumen pengenalan diri.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");