Jenayah

‘Pulang semula wang masjid’

masjid

Sham (tengah) bergambar bersama Abdul Karim dan ahli jawatankuasa Yayasan Pembangunan Masjid-Masjid Wilayah Bagan Serai:-

BAGAN SERAI – Gagal memperoleh lot rumah kedai, Yayasan Pembangunan Masjid-Masjid Wilayah Bagan Serai kini terpaksa menanggung kerugian hampir RM500,000 apabila urusan pembelian premis itu terbengkalai.

Pengerusinya, Abdul Karim Husain Kadir berkata, pada 2007, pihak yayasan membuat keputusan membeli aset berupa sebuah lot rumah kedai di Bukit Merah dengan harga RM450,000 bagi tujuan menampung keperluan yayasan.

Menurutnya, pihak yayasan turut membayar wang pendahuluan berjumlah RM140,040 kepada pemaju untuk melengkapkan urusan pembelian aset itu, bagaimanapun ia tidak dapat diselesaikan setelah bangunan terbabit didapati dibina tanpa memperoleh kebenaran penukaran status hak milik tanah oleh kerajaan negeri.

“Masalah itu menyebabkan urus niaga pembelian aset ini terbengkalai sehingga kini, malah pihak yayasan terpaksa menanggung hutang tertunggak pembelian premis daripada bank dengan jumlah RM309,500.

“Lebih mengecewakan, pemaju terbabit cuba bersikap lepas tangan dalam menyelesaikan perkara ini, pihak kami juga gagal mengadakan pertemuan dengan mereka untuk perbincangan,” katanya sewaktu ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Yayasan Pembangunan Masjid-Masjid Wilayah Bagan Serai ke-2, di Masjid Jamek Bagan Serai di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Abdul Karim berkata, pihak yayasan sudah merujuk isu itu kepada banyak pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan berharap kerajaan negeri dapat campur tangan dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

Menurutnya, selain pihak yayasan, beliau turut difahamkan terdapat puluhan pembeli lain yang mengalami nasib serupa apabila isu pembelian aset itu tergantung sehingga kini.

“Kami menggesa pihak pemaju jangan lepas tangan dan tampil mengadakan pertemuan dengan kami bagi menyelesaikan isu pembelian aset melibatkan pihak yayasan dan pembeli-pembeli lain.

“Sekiranya pihak pemaju terbukti gagal menyelesaikan urusan pembelian dari pihak kami, mereka sewajarnya memulangkan semula duit pendahuluan bernilai RM140,040,” katanya.

Katanya, berikutan masalah itu, segala perancangan bagi menjana ekonomi yayasan kini tergendala kerana terpaksa berhadapan dengan masalah hutang tertunggak.

Sementara itu, Sham ketika ditemui menegaskan pertemuan dengan pihak pemaju terlibat perlu diadakan segera bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.

Menurutnya, beliau juga akan mengemukakan masalah itu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Saya berharap pemaju lebih bertimbang rasa dan bertanggungjawab memandangkan perkara ini melibatkan wang masjid yang bakal digunakan untuk menaikkan martabat agama Islam sendiri,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");