Jenayah
Like

Rampas 10 botol dadah

July 28, 2013
231 Views
1 Comments
2 minutes read
Rampas 10 botol dadah

BTL DADAH

Che Malek menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, kelmarin:-

MACHANG – Polis merampas sebanyak 10 botol dadah dipercayai jenis heroin bernilai RM25,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Lalang Luas, dekat Labok, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 petang pada Isnin lalu, anggota dan pegawai narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai pemilik dadah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot berkata, rampasan ini merupakan antara yang terbesar pada tahun ini, hasil daripada maklumat dan intipan yang dilakukan oleh polis.

Katanya, sebelum kejadian, anggota dan pegawai narkotik itu melaksanakan Ops Ronda Cegah Jenayah di kawasan kampung itu, dan terserempak dengan kereta jenis Wira yang dipandu suspek yang juga penagih dadah.

“Polis mengekori suspek yang kemudiannya berhenti di sebuah rumah dan masuk ke dalam rumah itu. Serbuan telah dilakukan dan berjaya menahan suspek.

“Hasil pemeriksaan, kami menjumpai dua bungkusan surat khabar berbahasa Cina yang di dalam setiap satunya mengandungi lima botol plastik lut sinar bertudung kuning, mengandungi serbuk disyaki dadah di dalam beg galas dipakai suspek.

“Selain itu, kereta Wira milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan. Suspek direman selama tujuh hari sehingga 29 Julai ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Che Malek berkata, suspek, seorang penganggur turut mempunyai beberapa rekod kesalahan lalu dan dikehendaki polis bagi kes tahanan lari dari jagaan polis pada 2010.

Katanya, kejayaan tersebut secara tidak langsung membantu melumpuhkan satu aktiviti pengedaran dadah di daerah ini.

Tambah Che Malek, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat dan kerjasama orang ramai dalam usaha mencegah pelbagai bentuk jenayah.

Menurutnya, masyarakat memainkan peranan yang besar dalam mencegah jenayah dan ia dibuktikan sebelum ini, apabila beberapa kes berjaya diselesaikan hasil kerjasama yang padu itu.

– SINAR HARIAN

One Comment

Leave a Reply