Jenayah

Seludup Guna Komponen Mesin

Datuk Noor Rashid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Taktik licik menyembunyikan dadah dalam komponen mesin, sebelum diseludup keluar ke Australia berjaya dipatahkan selepas polis membongkar kegiatan haram kumpulan sindiket dikenal pasti didalangi orang tempatan.

Kegiatan itu dikesan selepas polis menangkap seorang suspek tempatan di Australia yang bertanggungjawab membawa masuk 65 kilogram dadah sama bernilai RM15.6 juta ke negara terbabit baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, hasil risikan dijalankan, pihaknya berjaya mengesan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang disyaki ada kaitan dengan kes penyeludupan dadah tersebut.

Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan di sebuah tempat letak kereta di Damansara, Petaling Jaya pada jam 1.45 petang, Rabu lalu.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah kilang peralatan mesin di Kinrara, Puchong kira-kira jam 8 malam hari yang sama.

Menurutnya, pemeriksaan menemui pelbagai peralatan mesin tetapi tiada sebarang dadah dijumpai.

“Namun, setelah diperiksa dengan teliti, kita temui sebanyak 81 gram dadah heroin bernilai kira-kira RM 6,480 dalam satu pembersih vakum.

“Siasatan lanjut menemui kesan serbuk disyaki dadah sama pada 417 unit bahagian motor dan 423 bahagian atas centrifugal pump serta beberapa lagi guni berisi kepingan logam dan silinder,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, semalam.

Noor Rashid berkata, sindiket menggunakan modus operandi dengan memasukkan heroin ke dalam bahagian mesin centrifugal pump bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, sebelum diseludup ke Australia melalui jalan laut.

Menurutnya, semakan mendapati kilang terbabit disewa oleh suspek yang ditahan di Damansara dan dijadikan sebagai stor untuk menyimpan dan membungkus dadah terbabit.

“Kita percaya dadah ini dibawa masuk dari negara lain ke Malaysia sebagai transit, sebelum diseludup keluar ke Australia,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan direman sehingga 17 Julai depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa luar negara khususnya Australia bagi memastikan aktiviti pengedaran dadah dalam negara dapat disekat.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");