SELEPAS ayah penyanyi Mila iaitu Jirin Burhan serta rakan baiknya di sekolah dulu, Nur Azida Abdul Rahim, berkongsi kisah dalam dua siri lepas, siri Jejak Bintang kali ini menyentuh mengenai bakatnya ketika menyertai Akademi Fantasia 5 (AF5).
Tiada siapa menyangka Mila mampu merangkul gelaran juara AF5 ketika itu berikutan persembahan kurang menyerlah pada konsert minggu pertama hingga ketiga.
Guru Vokal AF5, Syafizawati Sharif atau mesra dengan panggilan Cikgu Shafi, berkata Mila yang dikenalinya adalah seorang gadis yang rajin, cerdas, komited, suka berlatih, bertanya, mendengar cakap dan tahu apa diinginkan.
“Pengalaman yang saya tak dapat lupa ketika bersama dengannya dalam AF5 dulu, dia banyak membuatkan air mata saya menitis. Memang saya selalu menangis kerana membimbing Mila untuk menjadi lebih baik.
“Bukan sebab Mila tidak dengar cakap tapi dia ada satu sikap iaitu ‘nanti dulu’. Ini memberikan tekanan kepada saya dan akhirnya saya pula memberikan tekanan semula kepada Mila agar dia berubah.
“Terbukti Mila mampu lakukan dan bagi saya dia seorang individu yang boleh bekerja dalam tekanan,” kata Shafi. Dia juga berpendapat, Mila mula menunjukkan peningkatan dalam AF5 pada persembahannya minggu keempat.
Menyentuh mengenai pergaulan Mila bersama peserta AF5 lain, Shafi berkata Mila cukup disayangi rakan-rakannya kerana pandai menjaga hati kawan. Dia juga sangat menghormati orang lain.
“Sepanjang bersama AF sebagai tenaga pengajar, saya dapati pelajar AF5 penuh dengan kasih sayang. Jadi sehingga kini hubungan mereka semua masih kukuh bagaikan satu keluarga.
“Setahu saya, Mila dan rakan-rakannya di AF5 hingga kini masih saling berhubung di antara satu sama lain. Mereka begitu akrab walau pun jarang bertemu macam dulu,” katanya.
Berbicara mengenai hubungan rapatnya dengan Mila, Shafi berkata dia sangat rapat dengan pelajar AF5 ketika itu kerana banyak meluangkan masa bersama mereka.
“Ketika dipilih untuk menjadi salah seorang tenaga pengajar AF5, saya dalam keadaan berbadan dua. Jadi, jarak akademi yang bertempat di Shah Alam dengan rumah saya di Taman Melawati, Hulu Klang sangat jauh membuatkan saya enggan terbabit dengan kesesakan lalu lintas setiap hari.
“Justeru, bagi mengisi masa yang ada sebelum saya pulang ke rumah sekitar 8 malam, adalah lebih baik saya meluangkan masa bersama semua pelajar AF5 itu dan melatih vokal mereka.
“Disebabkan itulah, hubungan kami menjadi rapat kerana ruang waktu saya bersama mereka lebih panjang ketika itu. Bahkan, selepas persembahan minggu ketiga, barulah saya nampak peningkatan Mila dalam AF5.
“Sejak itu, dia menunjukkan persembahan konsisten sehingga malam final yang melayakkannya menjadi juara. Bagi saya, Mila penyanyi yang mempunyai vokal nada tinggi yang sangat bagus,” katanya.
Menurut Shafi lagi, vokal nada tinggi Mila itu boleh diumpamakan seperti Jaclyn Victor. Katanya, pendengar mungkin akan rasa bingit dengan jeritan mereka tetapi ia lebih mudah dilakukan berbanding lagu bernada rendah.
Cerita Shafi lagi, pada awal persaingan AF5 itu sebenarnya Mila hampir tersingkir pada minggu pertama kerana dia memperoleh undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) terendah.
Namun katanya sudah rezeki Mila untuk kekal bersaing apabila salah seorang peserta menarik diri pada minggu itu. Bahkan, menjadi rezeki tak terhingga buat Mila lagi apabila dia dinobatkan sebagai johan.
Secara tidak langsung, ia membuka lipatan sejarah baru di dalam persaingan AF apabila Mila juga adalah peserta wanita pertama yang diangkat sebagai juara selepas Vince, Zahid, Mawi dan Faizal Ramli.
Shafi juga berkata, selepas persaingan AF5 berakhir, dia masih lagi melatih vokal Mila untuk persediaan untuk Festival Muzik Pop Peringkat Antarabangsa ke-XVII di Bulgaria pada 2008.
Ujarnya, segala usahanya melatih vokal Mila ketika itu dirasakan berbalas apabila penyanyi genit itu menghubunginya dari Bulgaria dan memaklumkan kejayaannya merangkul gelaran juara sekali gus mengharumkan nama Malaysia.
Menutup perbualannya, Shafi berharap penyanyi Persis Mutiara itu akan terus berjaya dalam mengejar impiannya menjadi seorang penghibur dan usahawan yang berjaya.
Mila kini sedang sibuk mempromosikan single duet Cinta Kasih bersama rakannya Nubhan.
– Harian Metro