Berita Hari Ini

SPNB serius atasi kes penipuan di Sabah

spnb-logo1

KOTA KINABALU: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) cawangan Sabah, membuat laporan polis terhadap seorang kontraktor yang didakwa mengenakan caj terhadap pemohon program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) SPNB di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, pada 9 Julai lepas.

Berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada beberapa pemohon yang hadir, kontraktor terbabit mengenakan bayaran bermula daripada proses pendaftaran RMR1M, menandatangani perjanjian sehinggalah kepada penyerahan kunci.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPNB di sini hari ini, pemohon terbabit mendakwa kontraktor berkenaan mengenakan bayaran RM500 kepada pemohon baharu RMR1M dengan SPNB serta bayaran tambahan RM2,000 ketika proses menandatangani perjanjian sehingga proses serah kunci.

Bagi mengelak kekeliruan, wakil SPNB di Sabah membuat laporan polis di Pejabat Polis Keningau.

Menurut kenyataan polis, kes itu akan disiasat bagi mengelak lebih banyak lagi aktiviti penipuan berleluasa di kawasan itu.

Kontraktor pelaksana yang dimaksudkan tidak pernah berdaftar sebagai panel kontraktor di SPNB, dan SPNB juga tidak pernah menawarkan sebarang projek RMR1M kepada kontraktor terbabit.

Kenyataan itu menyebut SPNB melaksanakan permohonan secara dalam talian, yang hanya boleh diakses oleh wakil rakyat. Bagi mereka yang berminat untuk memohon program RMR1M dan berkelayakan, mereka boleh terus berjumpa dengan wakil rakyat di kawasan masing-masing bagi memohon tanpa dikenakan bayaran.

Mengenai kelewatan projek perumahan Taman Apas Permai di Tawau, bahagian pantai timur Sabah, SPNB dalam kenyataan berkata projek itu mengalami kelewatan disebabkan faktor teknikal dan pematuhan pihak berkuasa tempatan.

“Namun mesyuarat tapak pada setiap bulan tetap dijalankan dan laporan kemajuan kerja di tapak juga disokong pada mesyuarat bulanan.

“Pihak kontraktor juga telah bersetuju dan akan memberi komitmen untuk menyiapkan baki pembangunan dalam jangka masa lapan bulan,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");