Sukan Hari Ini
Like

Tiga digantung serta merta

July 9, 2013
54 Views
0 Comments
2 minutes read
Tiga digantung serta merta

pandak

Tiga pemain bola baling Wilayah Persekutuan yang didapati bersalah membawa masuk minuman keras ke dalam perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 minggu lepas, digantung serta-merta daripada terlibat dalam sebarang aktiviti sukan berkenaan.

Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM), Pandak Ahmad berkata, selain itu pengurus pasukan, jurulatih dan seorang pegawai pasukan terbabit turut dikenakan tindakan sama walaupun mereka tidak terlibat membawa masuk bahan larangan berkenaan ke perkampungan sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, PBBM memandang serius insiden itu dan tindakan yang dikenakan terhadap ketiga-tiga pegawai terbabit ialah kerana mereka sepatutnya memantau atlet mereka sepanjang berada di perkampungan sukan.

“Pada perjumpaan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, kami usulkan supaya mereka ini digantung sementara kerana dalam insiden pada Rabu lepas, terdapat dua kes iaitu membawa masuk minuman keras dan rogol.

“Berhubung kes rogol, kami serahkan kepada polis. Kami gantung mereka sementara kerana membawa masuk minuman keras ke dalam perkampungan sukan melanggar disiplin Sukan Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pegawai pengiring membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir oleh atlet lelaki bola baling di perkampungan sukan di UPM, Rabu lepas.

Mengulas lanjut, Pandak berkata berikutan insiden itu, pihaknya akan mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi atlet dan pegawai termasuk pengurus dan jurulatih yang terlibat dalam sesuatu kejohanan atau temasya sukan.

“Misalnya, dalam kes ini, pegawai pengiring itu berumur 19 tahun dan dia perlu awasi atlet lelaki yang berusia 18 dan 19 tahun. Banyak kemungkinan yang boleh berlaku.

“Dalam SOP itu juga, kami akan nyatakan bahawa membawa minuman keras semasa berlangsungnya sesuatu kejohanan itu melanggar disiplin sebagai atlet,” katanya.

Tiga atlet bola baling lelaki Sukma 2013 ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis berkaitan kes rogol itu.

Tiga suspek berusia antara 18 dan 19 tahun itu ditahan Jumaat lepas, di perkampungan sukan berkenaan, sehari selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

– Bernama

Komen & Pendapat

Leave a Reply