Berita Hari Ini

Tiga premis jadi ‘port’ tikus

PARIT BUNTAR: Sebanyak tiga kedai makan ‘sarang’ tikus antara tujuh premis makanan yang diarah tutup sementara dalam Operasi Bersih Bersepadu Premis Makanan Daerah Kerian oleh Jabatan Kesihatan negeri, di sini.

Premis yang diarah tutup itu adalah empat gerai makan, dua restoran dan sebuah kedai makan.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Shamsuddin Ahmad berkata, arahan dikeluarkan kerana tahap kebersihan makanan rendah, pengendali makanan tidak mendapatkan suntikan pencegahan penyakit tifoid dan tidak memakai apron serta penutup kepala.

Menurutnya, pihaknya turut mengesan kesalahan peralatan dan perkakas yang tidak bersih dan rosak, tiada kemudahan tempat mencuci pinggan mangkuk serta perkakas lain.

“Kesalahan lain yang dikenal pasti adalah keadaan fizikal bangunan seperti lantai, dinding dan siling yang tidak memuaskan atau kotor, pembuangan sampah yang tidak teratur serta masalah kebersihan.

“Kesemua tujuh premis makanan itu diarah tutup sementara selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Dalam tempoh itu, pengusaha perlu mengambil tindakan yang telah diarahkan oleh pegawai berkuasa bagi meningkatkan tahap kebersihan premis makanan mereka,” katanya.

Shamsuddin berkata, tiga daripada tujuh premis makanan itu, ikenal pasti mencatat peratusan markah kebersihan sangat mengecewakan, malah turut dikenal pasti ‘port’ tikus.

“Sepanjang siasatan dijalankan, kami mengenal pasti terdapat dua gerai makan di Parit Buntar dan sebuah restoran di Bagan Serai yang dikenal pasti menjadi sarang tikus.

“Selain itu, saya difahamkan terdapat sebuah restoran di Parit Buntar yang dikenakan kompaun oleh Majlis Daerah Kerian (MDK) atas kesalahan menghalang laluan awam,” katanya.

Shamsuddin berkata, operasi itu bermula jam 2.30 petang hingga 11 malam dengan tumpuan di Pusat Bandar Bagan Serai, Pusat Bandar Parit Buntar, pekan Alor Pongsu dan Kampung Sungai Baru.

Operasi itu diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Tajudin Hamzah dengan dibantu lebih 20 anggota Pejabat Kesihatan Daerah Kerian dan Majlis Daerah Kerian (MDK).

Shamsuddin berkata, operasi yang dijalankan merupakan operasi susulan terhadap pemeriksaan awal Pejabat Kesihatan Daerah Kerian sebelum ini apabila sebanyak 67 premis makanan telah diperiksa dan dinilai tahap kebersihan premis.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 10 premis masih tidak membaiki tahap kebersihan mereka walaupun notis kerja pembersihan premis sudah dikemukakan sebelum ini.

“Kehadiran kami kali ini bagi mengenal pasti sama ada kesemua premis yang diberikan notis kerja pembersihan premis mematuhi arahan dan agak mengecewakan apabila tujuh daripadanya ingkar arahan,” katanya.

“Jabatan Kesihatan Negeri Perak menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan 1985 dipatuhi demi kepentingan kesihatan masyarakat,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");