
KOTA BHARU: Polis Kelantan mengakui masih banyak kedai emas di negeri ini yang mengabaikan aspek ‘pencegahan dan keselamatan’ premis perniagaan mereka dengan tidak mematuhi spesifikasi sebagaimana disarankan oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sesebuah kedai emas itu perlu dilengkapi dengan aspek keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV), pengawal keselamatan, palang besi dan sebagainya bagi memastikan premis berkenaan selamat.
“Pengabaian aspek keselamatan tersebut secara tidak langsung membuka peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah rompakan dan sebagainya ke atas premis perniagaan berkenaan.
“Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, kebanyakan premis yang aspek ‘pencegahan dan keselamatan’ sering terdedah dengan jenayah dan situasi ini membabitkan tahap premis perniagaan di luar Kota Bharu,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mengulas beberapa kejadian membabitkan rompakan kedai emas di sini.
Sebelum itu, beliau merasmikan pembukaan Cawangan Kedai Natika Gold and Diamond di Tingkat Satu, Bazar Buluh Kubu, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim; Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Lau Yong Heng serta Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman.
Menurutnya, bagaimanapun ada juga pemilik kedai emas yang telah 90 peratus mengikut spesifikasi aspek ‘pencegahan dan keselamatan’, namun jumlahnya masih rendah.
“Saya nasihatkan semua pemilik kedai emas di negeri ini supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan.
“Ia sangat penting bagi memastikan premis perniagaan sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya merancang untuk memberikan nombor telefon bilik gerakan dan pegawai bagi meningkatkan aspek pencegahan jenayah membabitkan premis perniagaan di negeri ini.
“Secara tidak langsung pemilik premis berkenaan dapat menyalurkan terus maklumat kepada Polis sekiranya berlakunya jenayah berhampiran premis mereka.
-SINAR HARIAN