Tindakan UMNO yang melaksanakan pembaharuan dalam pemilihan parti selaras dengan pindaan Perlembagaan UMNO yang dipinda pada 2009 adalah sesuatu yang sewajarnya dipuji apatah lagi dalam suasana baru politik hari ini.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin mengganggap bahawa UMNO telah menunjukkan sifat keterbukaan dengan memberi ruang kepada semua ahlinya untuk bersama-sama menentukan pemimpin parti.
“Pemilihan ini menjadi bukti bahawa UMNO menolak persepsi negatif yang ditaburkan kononnya parti ini bersifat eksklusif dan hanya untuk golongan tertentu sahaja kerana dengan perubahan tersebut semua anggota parti termasuk di akar umbi dapat memainkan peranan,” katanya kepada UMNO-Online.
Seramai 150,000 perwakilan UMNO daripada 191 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan tahun ini selaras dengan pindaan perlembagaan baru UMNO yang dilakukan tiga tahun lalu.
“Sebelum ini terdapat segelintir pihak khususnya pakatan pembangkang yang memutarbelit sistem pemilihan UMNO apabila parti ini mengaplikasikan sistem kuota dan dengan perubahan yang dibuat maka tentunya ia dapat menutup manipulasi yang ditaburkan kepada UMNO.
“Walaupun UMNO sudah berusia lebih 67 tahun tetapi ia masih terus melaksanakan transformasi bagi disesuaikan dengan setiap generasi dan pemimpinnya bersedia berubah bagi memastikan suvival UMNO kepada perjuangan agama, bangsa dan negara.”
Dalam masa yang sama, beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yakin bahawa perancangan dalam pemilihan akan berlangsung lancar yang akan bermula diperingkat cawangan, bahagian dan seterusnya untuk kepimpinan Majlis Tertinggi.
“Apabila kepimpinan parti melaksanakan pembaharuan dengan melakukan pindaan dalam Perlembagaan UMNO yang kemudiannya diaplikasikan dalam realiti pemilihan maka ia telah memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian atas keyakinan UMNO untuk masa hadapan.”
Tambah beliau lagi, dengan pelaksanaan pemilihan yang lebih terbuka ini maka tentunya ia akan menyumbang kebaikan kepada parti kerana sentiasa bersedia menerima kritikan dan melaksanakan perubahan demi kesinambungan masa hadapan.
– MediaUMNO