Perak Hari Ini

Usahawan Digesa Tingkat Kemahiran Untuk Kekal Berdaya Saing

Exco Pembangunan Usahawan negeri, Mohd Nizar Zakaria berkata golongan usahawan perlu merebut peluang untuk meningkatkan kemahiran masing-masing dengan mengikuti kursus yang ditawarkan Agensi Pembangunan Usahawan Dan Sumber Manusia Perak (PEHRDA) dari semasa ke semasa.

Katanya, melalui khidmat nasihat serta pelbagai kursus kemahiran yang ditawarkan, para usahawan di negeri itu terutamanya yang baru menceburi bidang perniagaan dapat meningkatkan daya saing.

“Agensi yang diletakkan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) ini menawarkan khidmat nasihat serta kursus kemahiran kepada golongan usahawan termasuklah dalam bidang pembuatan, masakan dan perhotelan.

“Di bawah gagasan Perak Amanjaya, kerajaan negeri ingin melahirkan golongan usahawan yang berkebolehan dan memiliki kemahiran untuk menghadapi persaingan melalui peranan yang dimainkan oleh PEHDRA,” katanya kepada Peraktoday.com selepas melawat bengkel pembuatan dan perhotelan yang dikendalikan oleh PEHDRA di Menglembu dan Batu Gajah, petang tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PEHDRA, Azis Md Aris.

Mengulas lanjut, Mohd Nizar menjelaskan badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah dewan penjaja kecil boleh menyalurkan pandangan kepada agensi berkenaan untuk mendapatkan khidmat nasihat yang sewajarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga sedang mengumpul maklumat lengkap berkaitan persaingan yang dihadapi usahawan di Perak selain mengenalpasti ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk mengatasi cabaran itu.

“Agensi ini secara tidak langsung memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemahiran usahawan tempatan yang seharusnya bijak merebut peluang yang ada di depan mata.

“Usahawan perlu ada sikap dan pemikiran kreatif untuk terus berdaya saing dalam kancah ekonomi negara dengan memanfaatkan bantuan yang disediakan agensi kerajaan lain seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN dan Jabatan Pertanian,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");