Berita Hari Ini

‘Wanita wajar terus sokong Shahrizat’

SEREMBAN: Wanita Umno Negeri Sembilan menyarankan kepada setiap perwakilannya agar melihat dari segi komitmen berterusan yang telah dicurahkan oleh Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selama memimpin Wanita, biarpun jawatan itu akan menerima tentangan daripada bekas Ketua Puteri Umno, Datuk Azalina Othman Said.

Ketua Pergerakannya, Datuk Norhayati Omar berkata, aspek itu perlu dilihat oleh setiap perwakilan, walaupun semua jawatan tertinggi dalam parti itu terbuka untuk ditandingi pada pemilihan yang dijadualkan hujung tahun ini.

“Itu hak individu termasuk Azalina jika beliau tawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan tertinggi Ketua Wanita Umno. Saya lihat sesiapa sahaja boleh bertanding.

“Bagaimanapun, perwakilan disarankan agar melihat dari segi komitmen berterusan yang telah diberikan oleh Shahrizat selama beliau memimpin Wanita kerana daya kepimpinannya yang tinggi selain telah membawa pergerakan ini ke tahap cemerlang.

“Mengapa tidak kita (perwakilan Wanita) terus beri sokongan kepada beliau (Shahrizat) untuk terajui kepimpinan jika beliau masih mahu mempertahankan jawatan tertinggi tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Norhayati berkata, walaupun Shahrizat tidak bertanding pada PRU13 lalu, dan kini tidak lagi berjawatan menteri, tetapi perkara itu tidak seharusnya menjadi satu isu besar.

“Beliau (Shahrizat) telah menerajui kepimpinan Wanita selama sepenggal ini dalam dua era yang berbeza iaitu, ketika berjawatan menteri dan tidak berjawatan menteri.

“Bagaimanapun, ia bukan satu isu besar yang perlu dilihat perwakilan Wanita dalam pemilihan jawatan tertinggi itu nanti kerana jika tidak berjawatan menteri sekalipun, beliau tetap memberikan komitmen yang tinggi.

“Tidak semestinya tidak berjawatan dalam kerajaan tidak boleh terus memimpin dan mungkin ketiadaan jawatan dalam kerajaan tersebut, beliau akan lebih fokus dalam menerajui kepimpinan Wanita selepas ini,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");