Perak Hari Ini

10,000 Hadir Meriahkan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56

PERAKTODAY2

Hampir 10,000 rakyat Perak tidak ketinggalan meraikan sambutan ulangtahun kemerdekaan negara ke-56 yang berlangsung meriah di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, dekat Jalan Panglima Bukit Gantang, hari ini.

Seawal jam 7 pagi lagi, orang ramai sudah membanjiri kawasan itu bagi menyaksikan sambutan itu yang bertemakan ‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’.

Ketibaan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bersama Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir dan isterinya, Datin Seri Saripah Zulkipli.

Baginda kemudiannya membuat pemeriksaan kawalan kehormat utama, diikuti nyanyian lagu Negaraku serta menaikkan Jalur Gemilang.

Acara diteruskan lagi dengan bacaan doa dan ikrar oleh peserta yang mewakili pelbagai kaum dan profesion.

Sebanyak 85 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan tahun ini antaranya seperti Gabungan Tambur Tentera Darat, Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Pos Malaysia Berhad, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, hadirin turut menyaksikan perarakan lebih 20 kenderaan yang digunakan pelbagai pasukan keselamatan dan jabatan kerajaan seperti PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Knight Riders Ipoh, Telekom dan Proton.

Segmen-segmen menarik seperti deklamasi sajak, persembahan pantonim bertemakan “Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku” dan persembahan kior turut menceriakan lagi sambutan tahun ini.

Lintas terbang Udara yang dipersembahkan Angkatan Tentera Udara Ipoh (TUDM) serta tembakan Bom Asap menjadi kemuncak sambutan itu yang turut dihadiri wakil rakyat pembangkang.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Angkatan Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) turut memperlihatkan kehebatan masing-masing dalam perarakan itu yang berakhir sekitar jam 12 tengah hari.

Menurut salah seorang pengunjung, Nur Hazirah Sulaiman, 24, sambutan ulangtahun kemerdekaan kali ini cukup meriah sambil meluahkan rasa bangga kerana melihat perpaduan yang terjalin utuh antara semua kaum.

Bagi Ceasar Nair, 43, sambutan kali ini sangat menarik dan beliau juga tidak ketinggalan membawa anak-anaknya untuk merasai sendiri keunikan sambutan itu yang diraikan pada setiap 31 Ogos.

“Dengan membawa ahli keluarga bersama, saya harap ia dapat beri pendedahan kepada mereka mengenai pentingnya menghargai kemerdekaan yang dikecapi negara selama ini,” katanya.

Warga emas, Ong Siew Lang, 72, pula berkata:

“Sambutan kali ini cukup seronok dan saya tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikannya pada setiap tahun,”.

Beliau turut meluahkan rasa gembira dan bangga menjadi rakyat Malaysia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");