Perak Hari Ini

73 Kes Kesalahan Dilaporkan Sepanjang Ops Harga Di Perak: Samsudin

PERAKTODAY10

Sebanyak 73 kes kesalahan dilaporkan di Perak sepanjang tempoh Ops Harga yang dilancarkan secara serentak di seluruh negara pada 6 Julai lalu.

Exco Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan (BN-Ayer Kuning), berkata antara kesalahan yang dikenalpasti termasuklah menjual lebih daripada harga maksimum iaitu satu kes, gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu (54 kes) dan tidak meletakkan tanda harga (18 kes).

“Kita juga merampas barangan yang bernilai RM3,560 manakala nilai kompaun yang dikeluarkan pula berjumlah kira-kira RM9,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Zolkafly Harun(BN-Lintang) pada hari keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13 di Ipoh, hari ini.

Sementara itu, Samsudin menjelaskan kerajaan negeri melalui kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) turut mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani isu kenaikan harga barang.

Antara langkah yang diambil termasuklah melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya 2013 yang membabitkan 20 jenis barangan yang diwartakan sebagai borong dan runcit mengikut kewajaran dan kesesuaian.

“Skim ini memastikan harga yang berpatutan dalam rangkaian peniagaan untuk menjaga kepentingan pengguna dan juga peniaga,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, hebahan dan publisiti turut diadakan bagi memberi kesedaran kepada umum berhubung pelaksanaan skim ini dan pada masa yang sama Penghulu, ketua masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) turut memberi kerjasama padu untuk memantau harga barang kawalan.

“Pihk kerajaan negeri ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada 1,845 anggota penguatkuasa dan 1,071 Pengawai Pemantau Harga yang berada di semua lokasi tumpuan untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi menjayakan skim ini demi faedah rakyat Perak,” kata Samsudin lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");