Berita Hari Ini

Bonus khas RM500 hari ini

AHMAD SAID

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan pemberian bonus khas sempena Aidilfitri sebanyak RM500 akan diberikan kepada hampir 7,000 penjawat awam negeri ini bermula semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, bonus khas itu diputuskan di dalam mesyuarat exco selaras dengan pengumuman kerajaan Persekutuan untuk memberikan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam.

Menurutnya, jumlah bayaran khas kepada kakitangan awam dan badan berkanun di negeri ini melibatkan kos hampir RM7 juta.

“Kita memperuntukkan sebanyak hampir RM7 juta bagi membayar bonus khas ini termasuk kepada badan berkanun. Jadi, sebanyak RM3.4 juta diberikan kepada penjawat awam sementara selebihnya diberikan kepada badan berkanun.

“Bayaran bonus ini akan mula dibuat pada hari esok (semalam),” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai siapa yang menggalas tugas Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang sebelum ini digalas Dr A. Rahman Mokhtar, Ahmad berkata, tugas itu kini dipegang timbalannya, Mahdi Musa.

“Portfolio itu kini berjalan seperti biasa di mana tugas-tugas berkenaan digalas oleh Timbalan Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Mahdi Musa,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman telah mula bertugas secara rasminya sejurus selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut pada 24 Julai lalu.

“Majlis angkat sumpah sebagai Adun akan dijalankan dalam Sidang Dun yang akan diadakan pada Disember depan. Acara mengangkat sumpah diadakan secara rasmi bagi membolehkan beliau mengambil bahagian di dalam dewan,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");