Jenayah

Dadah: Polis tahan tiga beranak

dadah

BAGAN SERAI – Polis menahan sepasang suami isteri dan seorang warga emas, kerana dipercayai mengedar dadah jenis syabu bernilai RM430,000 dalam serbuan di sebuah rumah ladang di Kuala Kurau, Parit Buntar, 24 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian diketuai Inspektor Suhaimi Mohd Yasim melakukan serbuan berpandukan maklumat awam pada jam 8.30 malam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan dua orang perempuan di bahagian ruang tamu rumah, manakala seorang lelaki dijumpai dalam bilik tidur tingkat atas rumah.

“Berikutan itu, pemeriksaan teliti dijalankan terhadap suspek lelaki  menemukan satu bungkusan hijau dibalut pita pelekat lut sinar bersama lapan bungkusan kecil plastik lut sinar berisi syabu disimpan di dalam sebuah beg galas berwarna hijau di bilik suspek.

“Selain itu, polis turut merampas sebuah mesin pembungkus, alat penimbang, telefon bimbit, dokumen pendaftaran perkahwinan dan buku akaun bank yang turut berada di dalam bilik itu,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan dokumen pendaftaran perkahwinan ditemui, polis mengesahkan suspek lelaki serta wanita berusia 31 dan 28 tahun, merupakan pasangan suami isteri, manakala seorang lagi suspek berusia 72 tahun dikenal pasti sebagai ibu kandung wanita terbabit.

Jelasnya, kesemua suspek dikenal pasti berasal dari Taman Pekan Baru, Parit Buntar serta Taman Wang, Menglembu dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua dadah jenis syabu yang dirampas adalah seberat 1427.59 gram dengan anggaran nilai harga pasaran semasa  lebih kurang RM357,000 hingga RM430,000.

“Kami percaya bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran dan percaya kumpulan suspek ditahan bertanggungjawab mengedarkan dadah itu di sekitar daerah ini  serta selatan Pulau Pinang,” katanya.

Kata Mat Fauzi, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos 2013 di bawah Seksyen 117 Kanun Peraturan Jenayah untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kejayaan tangkapan ini juga dipercayai berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah jenis syabu di kawasan utara Perak dan selatan Pulau Pinang,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");